Martinelli wira Brazil tewaskan Jepun

Martinelli wira Brazil tewaskan Jepun

GABRIEL Martinelli meraikan gol jaringannya ketika menentang Jepun.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Pemain gantian Gabriel Martinelli muncul wira apabila menjaringkan gol pada saat-saat akhir masa kecederaan untuk membantu Brazil menewaskan Jepun 2-1 pada aksi pusingan kalah mati Piala Dunia, sekali gus mengesahkan tempat ke kelompok 16 terbaik.

Pemain sayap Arsenal itu meledak gol kemenangan pada minit ke-95 di Houston, mematahkan harapan Jepun dalam penamat yang penuh dramatik.

Juara dunia lima kali itu akan berdepan sama ada Ivory Coast atau Norway di New Jersey pada Ahad ini selepas mengharungi pertembungan sengit yang menghiburkan.

Jepun terlebih dahulu mengejutkan Brazil menerusi jaringan solo menarik Kaishu Sano pada minit ke-29 selepas kesilapan dilakukan pemain Brazil, sekali gus menggembirakan ribuan penyokong Samurai Biru dan membisukan lautan penyokong berbaju kuning.

Anak buah Carlo Ancelotti bangkit 11 minit selepas rehat apabila pemain tengah berpengalaman, Casemiro, menanduk masuk gol penyamaan ketika Brazil menguasai babak kedua.

Ketika perlawanan seakan-akan menuju masa tambahan, Martinelli muncul sebagai penyelamat dengan gol kemenangan pada penghujung aksi, menyebabkan sebahagian pemain Jepun tidak dapat menahan air mata.

“Saya tidak dapat menggambarkan kegembiraan yang saya rasakan. Melihat semua penyokong berdiri, ibu bapa saya, rakan-rakan saya… saya benar-benar tidak mampu menjelaskannya,” kata Martinelli.

Sejarah sememangnya tidak memihak kepada Jepun. Mereka belum pernah memenangi perlawanan kalah mati di Piala Dunia, manakala Brazil kekal sebagai negara paling berjaya dengan lima kejuaraan dunia.

Namun, Brazil kali ini bukanlah pasukan sehebat generasi terdahulu walaupun dibimbing Ancelotti, sementara Jepun pula dianggap antara pasukan ‘kuda hitam’ kejohanan.

Brazil kini memburu kejuaraan dunia pertama mereka dalam tempoh 24 tahun.

Casemiro memuji ketenangan rakan sepasukannya yang terus bersabar sehingga berjaya memperoleh gol kemenangan.

“Saya tahu peluang itu akan tiba. Pasukan ini wajar dipuji kerana kekal tenang sepanjang perlawanan.

“Apabila kita menjaringkan gol, seluruh pasukan menjaringkan gol. Apabila kita menderita, seluruh pasukan turut merasainya,” kata pemain berusia 34 tahun itu yang meninggalkan Manchester United pada musim panas ini.

Beliau menyifatkan perlawanan itu sebagai ‘putaran emosi yang luar biasa di atas padang’.

Dengan paluan gendang penyokong Brazil bergema sepanjang perlawanan, skuad Ancelotti menguasai permainan pada awal aksi di hadapan 68,777 penonton.

Kelibat Neymar di bangku simpanan yang dipaparkan di skrin gergasi turut mencetuskan sorakan lebih gemuruh daripada penyokong Brazil.

Pemain tengah bertahan Jepun, Sano, dilayangkan kad kuning selepas terjahan keras ke atas Vinicius Junior, sebelum penyerang Brazil, Matheus Cunha, memaksa penjaga gol Zion Suzuki menepis percubaannya.

Jepun, yang menewaskan Brazil 3-2 dalam aksi persahabatan di laman sendiri pada Oktober lalu bagi kemenangan pertama mereka ke atas gergasi Amerika Selatan itu, kemudian mula menguasai permainan.

Menjelang minit ke-30, skuad kendalian Hajime Moriyasu membuka tirai jaringan hasil kesilapan Danilo yang melakukan hantaran lemah.

Sano, yang kembali disenaraikan selepas menjadi satu daripada empat pertukaran daripada aksi terakhir kumpulan menentang Sweden, merampas bola di bulatan tengah sebelum mudah melepasi Casemiro yang sudah mengutip kad kuning.

Pemain tengah Mainz itu kemudian mara ke depan sebelum melepaskan rembatan tenang menewaskan penjaga gol Alisson bagi mencatat gol pertamanya di pentas antarabangsa.

Ketika itu, penyokong Brazil mula menunjukkan keresahan setiap kali serangan gagal disempurnakan atau hantaran dilakukan ke belakang.

Brazil, yang kali terakhir menjulang Piala Dunia pada 2002, kelihatan goyah di bahagian pertahanan dan kurang berbisa di jentera serangan.

Ancelotti kemudian melakukan pertukaran pada waktu rehat apabila Lucas Paqueta terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan penyerang muda berusia 19 tahun, Endrick.

Jepun, yang membelasah Tunisia selain mengikat Belanda dan Sweden untuk mara ke pusingan kalah mati, berjaya melaksanakan perancangan mereka dengan baik.

Brazil meningkatkan tekanan sebaik babak kedua bermula, namun pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu, dua kali menyelamatkan keadaan di garisan gol.

Usaha Brazil akhirnya membuahkan hasil apabila pertahanan Arsenal, Gabriel, melakukan hantaran lintang tepat yang disudahkan Casemiro menerusi tandukan tanpa kawalan di tiang jauh.

Vinicius, yang sebelum itu berjaya dikekang pertahanan Jepun, kemudian memperdayakan benteng lawan sebelum rembatannya ditepis Suzuki ke tiang gol.

Brazil terus mengasak untuk mencari gol kemenangan dengan Vinicius, penjaring empat gol pada peringkat kumpulan, semakin menyerlah.

Akhirnya Martinelli, yang masuk menggantikan Cunha pada minit ke-66, menjadi pemusnah harapan Jepun apabila percubaannya sempat disentuh Suzuki, namun bola tetap melepasi garisan untuk menghadiahkan kemenangan dramatik buat Brazil.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN