PETALING JAYA: Pasukan remaja negara mengesahkan slot suku akhir menjadi milik mereka selepas membenam Korea Selatan 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Remaja Berpasukan Campuran Asia di Yatsushiro, Jepun, hari ini.
Dua kemenangan yang dicatat Malaysia, termasuk menegetepikan Macau, semalam, sudah cukup membawa skuad muda tersebut ke peringkat kalah mati.
Esok, Malaysia bakal turun menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan D bagi menentukan juara dan naib juara kumpulan.
Dalam permainan set pertama yang berlangsung menggunakan format berganti-ganti (relay) itu, beregu lelaki, Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan membuka aksi dengan kemenangan tipis ke atas gandingan Korea Selatan, Kim Tae Hyun-Lee Min Jae 11-10.
Perseorangan perempuan, Carine Tee meneruskan rentak kemenangan ke atas Kwon Min Gyo dengan keputusan 22-19, manakala, beregu perempuan, Genevie Lim-Low Zi Yu tidak berdepan masalah mengetepikan Kim Han Bi-Min Gyo 33-24.
Ahmad Redzuan yang turun sekali untuk aksi beregu campuran berpasangan dengan Low Zi Yu menewaskan Min Jae-Yeo Seo Young 44-31.
Sementara perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang memastikan Malaysia mendahului Korea Selatan 1-0 selepas menundukkan Jeong Da Hwan 55-32.
Dalam set kedua, Malaysia yang menurunkan gandingan Damien Ling-Irfan M. Shazmir bermain cemerlang apabila mudah membenam Tae Hyun-Min Jae 11-3 dan kemenangan itu diteruskan Carine yang menumpaskan Min Gyo 22-9.
Untuk saingan beregu perempuan pula, Genevie-Zi Yu mengekalkan permainan konsisten untuk menumbangkan Han Bi-Min Gyo 33-14.
Ahmad Redzuan-Zi Yu yang dipasangkan sekali lagi untuk aksi beregu campuran mengalahkan Min Jae-Seo Young 44-22, manakala, Wei Xiang menutup aksi skuad negara dengan kemenangan ke atas Da Hwan 55-28. – UTUSAN










