PETALING JAYA: Peranan yang dimainkan Lee Zii Jia selaku ‘penentu’ kemenangan pasukan pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala Thomas telah banyak meningkatkan keyakinan bekas bintang No. 2 dunia itu.
Zii Jia yang kini melonjak ke ranking No. 67 dunia, selepas bermula selaku pemain yang menghuni tangga ke-82 dunia di Horsens, Denmark turut memberi isyarat positif seandainya dia layak beraksi pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Axiata Arena pada 19-24 Mei ini.
Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Hafiz Hashim berkata, penampilan pada Piala Thomas telah banyak mengubah Zii Jia sebagai pemain yang berehat lama akibat kecederaan.
“Bagi saya penyertaan Zii Jia pada Piala Thomas telah meningkatkan keyakinan dia terutama peranannya sebagai perseorangan ketiga yang menjadi penentu kepada kemenangan pasukan.
“Peningkatan itu dapat kita lihat terutamanya sewaktu Zii Jia menang ke atas Koki (Watanabe) dari Jepun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ketika ditanya sama ada faktor latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) membantu Zii Jia, bekas juara All England itu tidak berpendapat demikian, tetapi, sebaliknya faktor dia diserapkan ke dalam skuad Piala Thomas dan memainkan peranan penting di dalam pasukan yang mengubah keyakinan pemain itu.
Bagaimanapun, jelasnya, kehadiran Zii Jia ke dalam sistem latihan pemain perseorangan ABM dipercayai mampu memberi manfaat kepada semua pihak.
“Bagus untuk semua pihak, Zii Jia pemain yang berpengalaman dan kehadiran dia juga baik untuk pemain-pemain muda,” katanya.
Menurut Hafiz, Zii Jia merupakan pemain yang sedia ada memiliki kualiti permainan yang bagus dan faktor yang ada pada dirinya itu bukan dibantu dengan program latihan ABM.
Tambah beliau, dalam situasi Zii Jia, apa yang menjadi keutamaan kepada anak jati Kedah itu adalah menaikkan kembali namanya serta keyakinan yang hilang dan pemain tersebut memperoleh manfaat pada penyertaannya di Piala Thomas.-UTUSAN










