Syahir dijangka rehat tiga bulan

Syahir dijangka rehat tiga bulan

TEKONG negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi mengalami kecederaan ketika menentang pasukan Jepun pada peringkat suku akhir sepaktakraw Regu Berkumpulan pada Kejohanan Piala Dunia Sepaktakraw TM ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dijangka berehat selama tiga bulan susulan kecederaan tendon yang dialami pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026, kelmarin.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan sebenar pemain itu hanya dapat dipastikan selepas keputusan imbasan ultrasound diperoleh bagi mengenal pasti tahap kecederaan dialami.

Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, pasukan perubatan mengesyaki terdapat koyakan pada tendon Syahir, namun tahap serius kecederaan tersebut masih belum dapat disahkan.

“Kita kena tengok dulu keputusan ultrasound dia. Daripada situ kita akan lihat tahap kecederaan dan baru boleh susun program pemulihan.

“Kita syak tendon dia ada sedikit koyak. Kalau betul koyak, kita kena tengok juga sejauh mana besar koyakan itu sebelum tentukan rawatan dan proses pemulihan,” katanya.

Jelas Ahmad Jais, sekiranya berlaku koyakan kecil, Syahir mungkin memerlukan rawatan intensif termasuk suntikan Platelet-Rich Plasma (PRP) selain menjalani program pemulihan khas.

“Biasanya tempoh pemulihan antara sebulan hingga tiga bulan kalau koyakan itu tidak besar. Tapi semuanya bergantung kepada keputusan ultrasound nanti.Kita harap kecederaan itu tidak terlalu serius,” ujarnya.

Syahir terpaksa dikeluarkan pada penghujung set pertama ketika menentang Jepun selepas mengalami kekejangan pada kaki kiri, sebelum tempatnya digantikan oleh Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican.

Akibat kecederaan tersebut, Syahir turut terlepas aksi separuh akhir menentang Indonesia apabila regu kedua negara dibarisi Farhan Adam selaku pengumpan bersama Mohamad Azlan Alias dan Haziq Hairul Nizam, dengan kombinasi itu berjaya menyumbang mata kemenangan buat skuad negara.

Malah, pemain itu sekali lagi tidak dapat diturunkan dalam aksi final menentang Thailand dan kini ‘berperang’ dengan masa untuk pulih sepenuhnya bagi mencerahkan peluang menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung pada September depan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN