SEPANG: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak bakal mengilatkan prestasi beregu remaja negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama skuad Piala Uber.
Pasangan mranking ke-143 dunia itu sebelum ini mencipta kejutan selepas menumbangkan pasangan No.7 dunia dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi selain menewaskan wakil Afrika Selatan dan Turkiye pada aksi kumpulan B kejohanan dwitahunan itu.
Rosman berkata, Zi Yu yang berusia 16 tahun manakala Noraqilah, 19, bakal dihantar lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan tahap permainan serta pengalaman menentang beregu berkelas dunia.
“Seperti yang saya kata, prestasi mereka sangat bagus tetapi tahap mereka masih jauh.
“Kami sedang merancang untuk menghantar mereka ke kejohanan yang bertaraf lebih tinggi supaya dapat mengejar pasangan lain,” kata Rosman selepas skuad Piala Thomas dan Uber tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Mengulas mpotensi untuk menggantikan beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada masa hadapan, Rosman tidak menolak kemungkinan bahawa semua pasangan negara ada peluang untuk menjadi gandingan wanita No.1 Malaysia.
“Semua pemain ada peluang. Bukan hanya Zi Yu dan Aqilah sahaja. Saya rasa di kem memang ada banyak pasangan junior juga. Mereka perlu bersaing untuk menaikkan prestasi mereka supaya dapat menyesuaikan diri di peringkat dunia,” katanya.
Skuad Piala Uber memadam kemarau 16 tahun untuk mara ke suku akhir selepas menduduki tempat kedua Kumpulan B dibelakang Jepun namun pada akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan China pada aksi suku akhir dengan keputusan 3-0.-UTUSAN
HABIS.
KAPSYEN: , Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan konsisten menyumbang mata kepada skuad Piala Uber negara.










