KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King semakin yakin untuk mencabar kelompok elit dunia selepas mengakui kekuatan mental mereka kini jauh lebih ampuh berbanding musim lalu.
Gandingan ranking ke-16 dunia itu percaya pengalaman mengharungi pelbagai kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini mula mematangkan corak permainan mereka, sekali gus mengurangkan perasaan gementar ketika berdepan lawan bertaraf dunia.
Roy King berkata, perubahan paling ketara dalam pasangan tersebut ialah aspek keyakinan diri dan keberanian untuk menterjemahkan corak permainan agresif seperti dipamerkan ketika sesi latihan.
“Saya rasa kalau dibandingkan tahun ini dengan tahun lepas, mental kami memang banyak meningkat sebab sudah bermain banyak kejohanan.
“Saya harap saya dan Arif boleh buktikan kepada rakyat Malaysia yang kami juga mampu beri persembahan terbaik,” kata Roy King.
Menurut Roy King, dia turut menyimpan impian untuk mengikut jejak pasangan negara lain seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Saya rasa ia memang satu cabaran besar, tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
“Saya percaya dengan gandingan bersama Arif dan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun ini masih boleh dicapai,” katanya.
Dalam pada itu, Arif pula menarik nafas lega apabila kecederaan meniskus lutut kanan yang dialami sejak All England pada Mac semakin pulih dan tidak lagi mengganggu pergerakannya di gelanggang.
Pemain berusia 23 tahun itu mendedahkan dia hanya sempat menjalani latihan selama empat atau lima hari minggu lalu, namun sudah mampu bergerak tanpa rasa sakit ketika sesi ujian gelanggang.
“Doktor cakap kecederaan meniskus saya tidak terlalu serius dan proses pemulihan juga lebih cepat berbanding kes lain.
“Sekarang saya cuma mahu fokus beri yang terbaik dan bermain tanpa kecederaan di Malaysia Masters,” katanya. – UTUSAN










