Malaysia sasar podium di Piala Dunia FootGolf 2026

Malaysia sasar podium di Piala Dunia FootGolf 2026

PASUKAN kebangsaan FootGolf Malaysia yang akan beraksi pada kejohanan Piala Dunia FIFG 2026 di Acapulco, Mexico bermula 27 Mei hingga 7 Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan FootGolf Malaysia (FGAM) yakin kontinjen negara mampu mencipta kejayaan di pentas dunia apabila menyasarkan kedudukan podium pada Piala Dunia FIFG 2026 yang akan berlangsung di Acapulco, Mexico dari 27 Mei hingga 7 Jun ini.

Majlis pelepasan rasmi pasukan kebangsaan FootGolf Malaysia yang dianjurkan oleh FGAM di The Club by M sebelum ini merupakan persiapan terakhir sebelum 24 pemain negara membawa cabaran di kejohanan berprestij itu.

Kontinjen negara yang terdiri daripada 18 pemain kategori Terbuka Lelaki dan enam pemain kategori Senior membawa semangat serta keyakinan tinggi selepas pencapaian memberangsangkan pada Piala Dunia 2023 di Orlando.

Ia apabila mereka berjaya mara ke peringkat suku akhir, selain kejayaan besar di Piala Asia 2024.

Berdasarkan prestasi tersebut, FGAM menetapkan sasaran lebih agresif bagi edisi kali ini dengan kategori Terbuka Lelaki menyasarkan tempat di podium, manakala kategori Senior menyasarkan sekurang-kurangnya peringkat suku akhir atau lebih baik.

PASUKAN kebangsaan FootGolf Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lic Benito Juarez, Mexico semalam.

Perjalanan skuad negara turut mendapat sokongan microLEAP selaku Rakan Rasmi Pasukan Malaysia ke Piala Dunia FootGolf yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh persiapan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny berkata, sokongan terhadap pasukan kebangsaan adalah bukti kepercayaan terhadap potensi atlet Malaysia di peringkat antarabangsa.

“MicroLEAP bukan sekadar menyokong penyertaan, sebaliknya membawa mesej bahawa Malaysia mampu bersaing di pentas sukan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden FGAM, Jeffrey Cottam berkata, skuad kali ini berada pada tahap persediaan terbaik dengan moral tinggi serta keyakinan untuk memberi cabaran kepada pasukan terbaik dunia.

Katanya, dengan sokongan padu semua pihak, Malaysia berpotensi untuk mencapai keputusan lebih baik berbanding edisi terdahulu.

Misi pasukan negara turut disokong oleh Kaki Jersi selaku penaja kit rasmi serta MBI Selangor yang terus memberi sokongan kepada pembangunan pasukan.

The Club by M pula berperanan sebagai pusat latihan rasmi yang menyediakan kemudahan persiapan menjelang kejohanan tersebut.

Piala Dunia FIFG 2026 dijangka menghimpunkan lebih 1,200 pemain dari 60 negara, sekali gus menjadikannya antara kejohanan FootGolf paling kompetitif di dunia dengan cabaran teknikal dan mental yang tinggi.

Dengan persiapan rapi serta sokongan berterusan, skuad negara berlepas dengan harapan untuk membawa pulang kejayaan di pentas dunia.

Perkembangan terkini, pasukan kebangsaan FootGolf Malaysia sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lic Benito Juarez, Mexico semalam dan ketibaan mereka disambut oleh Setiausaha Pertama Jesse Quiban dan Setiausaha Ketiga (Pentadbiran & Konsular), Mohamed Amin Abdul Rashid. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN