KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 9 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengakui gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard bermain dengan cukup sempurna sehingga sukar untuk mereka bangkit pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, semalam.
Pasangan No. 3 negara itu terpaksa akur kepada Lundgaard-Vestergaard yang menghuni ranking ke-18 dunia 16-21, 17-21 dalam masa 42 minit.
Izzuddin berkata, beregu Denmark itu berjaya menghadirkan tekanan sejak dari awal permainan lagi dan kelewatan mereka untuk bangkit pada pertemuan tersebut telah menjadi punca kekalahan.
“Lawan memang sudah baca kami punya permainan dan kami pula lambat menukar taktik,” kata Izzuddin kepada pemberita selepas perlawanan berakhir di sini, semalam.
Mengulas mengenai Terbuka Singapura yang bermula, esok, pemain berusia 28 tahun itu memberitahu, buat masa ini, fokus dia dan Sze Fei adalah kepada proses pemulihan sebelum memikirkan cabaran di negara tetangga tersebut.
Ketika ditanya pula sama ada fokus mereka kini sudahpun beralih kepada persediaan untuk kelayakan Sukan Olimpik, tahun depan, Izzuddin berkata, buat masa ini mereka lebih memberi perhatian kepada persembahan serta memburu gelaran dan secara automatik kedudukan ranking akan naik jika bermain baik.
Kekalahan itu menyaksikan kedua-dua beregu tersebut kini berkongsi rekod pertemuan yang kini terikat 3-3.
Selaku naib juara, Sze Fei-Izzuddin membawa pulang wang tunai AS$19,000 (RM75,390) beserta pingat perak.
Sementara itu, pasangan pecah ganding China, Chen Fan Shu Tian-Luo Xu Min menjuarai acara beregu wanita, manakala, rakan senegara, Gao Jia Xuan-Wei Ya Xin mengungguli sektor beregu campuran.
Bintang No. 7 dunia, Li Shi Feng dari China serta jaguh Thailand, Ratchanok Intanon yang juga merupakan pemain No. 7 dunia menjuarai final perseorangan lelaki dan wanita. – UTUSAN










