Guardiola intai keajaiban EPL

Guardiola intai keajaiban EPL

Pep Guardiola memegang Piala FA selepas pasukan bimbingannya menewaskan Chelsea 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley, London, kelmarin. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan terlalu hanyut dengan kejayaan  menjulang Piala FA, sebaliknya terus memasang impian mencipta keajaiban memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

City menewaskan Chelsea 1-0 pada aksi final di Wembley, Sabtu lalu menerusi jaringan unik Antoine Semenyo yang melakukan sentuhan tumit berani pada babak kedua.

Kejayaan menghadiahkan trofi Piala FA pertama City sejak 2023, sekali gus melengkapkan gelaran berganda domestik selepas turut menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Arsenal  Mac lalu.

Namun, Guardiola pantas ‘menekan brek’ sambutan kemenangan kerana fokus kini terarah sepenuhnya kepada baki dua perlawanan liga yang bakal menentukan nasib mereka.

“Balik rumah, jangan sentuh bir pun. Kami tiada masa untuk meraikan apa-apa sekarang. Hanya selepas aksi terakhir menentang Aston Villa nanti barulah kami fikir soal sambutan,” katanya.

City yang berada di tangga kedua liga ketika ini ketinggalan dua mata di belakang Arsenal dan masih mengharapkan pasukan kendalian Mikel Arteta tercicir mata dalam baki saingan.

Skuad The Citizens perlu terlebih dahulu menewaskan Bournemouth dan Aston Villa sebelum boleh berharap Arsenal gagal memanfaatkan peluang mereka.

Walaupun mengakui peluang City tidak besar, Guardiola percaya pasukannya kini jauh lebih stabil berbanding musim lalu yang berakhir tanpa sebarang trofi.

Katanya, impak pemain baharu seperti Semenyo dan Marc Guehi, selain peningkatan prestasi pemain muda seperti Matheus Nunes, Abdukodir Khusanov dan Nico O’Reilly menjadi petanda masa depan kelab itu masih cerah.

“Saya kenal pemain-pemain ini. Saya tahu komitmen mereka terhadap kelab. Saya yakin kami akan terus berada di tahap tertinggi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN