Djokovic desak Grand Slam dengar suara pemain

Djokovic desak Grand Slam dengar suara pemain

Novak Djokovic. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Bekas pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic mendesak Grand Slam mendengar suara pemain tenis dunia bagi mengelak sukan itu terus berdepan perpecahan lebih besar.

Ketegangan antara pemain dan penganjur semakin memuncak menjelang Roland Garros apabila beberapa pemain utama dilaporkan merancang mengehadkan sesi media kepada hanya 15 minit sebagai tanda protes.

Djokovic yang sekian lama dikenali sebagai pejuang hak pemain berkata, ramai pihak masih gagal memahami kesukaran sebenar dihadapi pemain terutama mereka yang berada di ranking bawahan.

“Saya sentiasa berada di pihak pemain dan cuba memperjuangkan hak serta masa depan lebih baik buat semua pemain, bukan hanya pemain elit.

“Kita sering terlupa betapa kecilnya jumlah pemain yang benar-benar mampu hidup selesa daripada sukan ini,” kata Djokovic.

Pemenang 24 gelaran Grand Slam itu turut mengakui dia kecewa melihat dunia tenis semakin berpecah ketika pemain, badan induk dan pihak kejohanan gagal mencari titik persamaan.

“Kita sekarang terlalu berpecah dan secara peribadi saya sangat tidak suka melihat perkara itu berlaku.

“Kita perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam golf dan cuba mencari satu suara bersama demi masa depan tenis,” ujarnya.

Sementara itu, pemain No. 1 dunia wanita, Aryna Sabalenka menegaskan perjuangan pemain bukan semata-mata soal wang, sebaliknya demi membantu pemain ranking rendah yang semakin terhimpit dengan kos dan tekanan dalam jelajah profesional.

Dalam masa sama, Taylor Fritz turut menuntut pembahagian hasil lebih adil memandangkan kejohanan Grand Slam terus mencatat keuntungan besar tetapi pulangan kepada pemain masih dianggap tidak seimbang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN