KUALA LUMPUR: Peluang berdepan jaguh pecut dunia, Noah Lyles di Seiko Golden Grand Prix Tokyo dianggap pengalaman paling bernilai buat bintang muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.
Penampilan di kejohanan antarabangsa itu boleh dijadikan persediaan terbaik dalam usahanya memburu kemuncak prestasi menjelang Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Eugene, Oregon pada Ogos ini.
Pelari berusia 19 tahun itu mengakui tidak menyangka bakal berkongsi trek dengan juara Sukan Olimpik Paris 2024 tersebut, namun melihat peluang itu sebagai pentas penting untuk mengukur kemampuan sebenar di peringkat antarabangsa.
Atlet kelahiran Johor itu berkata, beliau teruja berpeluang berentap bersama Lyles selepas menimba ilmu berlari bersama raja pecut Asia Tenggara dari Thailand, Puripol Boonson pada Sukan SEA 2025, tahun lalu.
“Saya pun tidak jangka Lyles akan bertanding di Tokyo kali ini, tetapi ini satu pengalaman besar untuk saya dapat bersaing dengan atlet bertaraf dunia.
“Lyles antara pelari terbaik dunia sekarang dan sebelum ini saya pernah berlumba dengan Puripol di Sukan SEA, jadi kali ini saya bersyukur dapat lagi peluang untuk berdepan atlet ranking dunia,” kata Danish sebelum berlepas ke Tokyo di Majlis Sukan Negara (MSN), kelmarin.
Kehadiran Lyles yang memiliki rekod peribadi 9.79 saat (s) dijangka menjadikan saingan 100 meter di Tokyo lebih mencabar dengan beberapa lagi nama besar turut berada dalam senarai seperti Marcellus Moore, Jerome Blake dan Yoshihide Kiryu.
Danish bagaimanapun tidak mahu terlalu meletakkan tekanan terhadap catatan masa di Jepun kerana fokus utamanya adalah mencapai kemuncak prestasi di Kejohanan Dunia B-20 dengan sasaran bawah 10.2s.
“Untuk Tokyo saya cuma mahu kekalkan rentak dan kalau dapat catatan bawah 10.5 atau 10.4 saat itu sudah memadai buat saya,” katanya yang memiliki catatan musim terbaik 10.46s dan rekod peribadi 10.18s.
Selepas Tokyo, Danish akan berlepas ke Hong Kong bagi Kejohanan Asia B-20 yang berlangsung pada 28 hingga 31 Mei ini.
Untuk rekod, Danish memiliki catatan peribadi terbaik 10.18s yang dilakar pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember lalu, manakala catatan terbaik musim (10.46s) ini dilakukannya pada kejohanan tempatan di Pulau Pinang, pada April.-UTUSAN










