Azizulhasni laung amaran awal

Azizulhasni laung amaran awal

Azizulhasni Awang menampilkan aksi memberangsangkan dalam Siri Piala Trek Jepun selepas meraihkan gelaran dunia di Piala Dunia Trek 2026 di Nilai sebelum itu. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang terus memberikan isyarat jelas bahawa beliau masih belum bersedia mengakhiri penguasaannya dalam arena berbasikal trek apabila menampilkan aksi kompetitif pada Siri Piala Trek Jepun di Shizuoka, dua minggu lalu.

Jaguh berusia 38 tahun itu menamatkan kempen dengan satu pingat perak dan dua gangsa sekali gus mengukuhkan keyakinan persiapannya ke Sukan Komanwel Glasgow pada Julai dan Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September berada di landasan tepat.

Lebih menarik, pencapaian tersebut hadir ketika ramai mula mempersoalkan kemampuan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu untuk terus bersaing dengan kelompok elit dunia selepas melalui karier yang panjang dan penuh kejayaan.

Azizulhasni berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan sepanjang dua siri perlumbaan di Jepun yang disifatkan sebagai sebahagian daripada persiapan penting menuju dua temasya utama tahun ini.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi saya di sini kerana kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia yang semakin hampir.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia yang hadir memberikan sokongan kepada kami di Jepun,” katanya.

Pemenang dua pingat Olimpik itu turut meraih pingat perak acara keirin pada perlumbaan terakhirnya walaupun terpaksa berdepan situasi mencemaskan apabila dihimpit pelumba Perancis, Ryan Helal sebelum berlaku sentuhan sesama pelumba menjelang pusingan akhir.

“Alhamdulillah saya berjaya meraih pingat perak dalam perlumbaan terakhir di Jepun walaupun final berlangsung dengan cukup agresif.

“Perkara utama yang saya mahu elakkan ialah terbabit dalam kemalangan dan saya bersyukur semua pelumba berjaya menamatkan perlumbaan dengan selamat,” katanya.

Prestasi cemerlang Azizulhasni itu hadir selepas beliau terlebih dahulu muncul juara keseluruhan keirin Siri Piala Dunia Trek musim ini menerusi dua pingat emas keirin selain turut meraih dua gangsa dalam acara pecut individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN