LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi menggesa pemainnya supaya beraksi dengan penuh semangat, keberanian dan karakter menjelang aksi penentuan nasib kelab menentang Everton dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), hari ini.
Tottenham kini berada dalam situasi getir apabila berdepan ancaman penyingkiran buat kali pertama sejak 49 tahun selepas mengharungi musim yang mengecewakan.
Bagaimanapun, keputusan seri menentang Everton sudah memadai untuk memastikan Spurs kekal di EPL memandangkan West Ham yang menghuni tangga ke-18 ketinggalan dua mata selain memiliki perbezaan jaringan yang jauh lebih buruk.
Menurut De Zerbi, perlawanan itu ibarat sebuah ‘final’ buat pasukannya biarpun tiada trofi menjadi taruhan.
“Kami perlu bermain dengan darah, karakter dan semangat kerana ini adalah perlawanan final.
“Tiada trofi atau bonus menanti tetapi ada sesuatu yang jauh lebih penting iaitu masa depan kelab, sejarah pasukan dan maruah semua pihak,” katanya.
Dalam masa sama, Spurs menerima tamparan apabila kapten, Cristian Romero disahkan terlepas aksi penting itu selepas pulang ke Argentina akibat kecederaan.
Ketiadaan tonggak pertahanan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Tottenham, namun De Zerbi menjelaskan keputusan itu dibuat oleh pasukan perubatan.
“Saya faham reaksi penyokong, tetapi keputusan itu dibuat staf perubatan. Kami tidak boleh membuang tenaga memikirkan perkara lain selain fokus kepada perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pengendali West Ham, Nuno Espirito Santo menyifatkan aksi menentang Leeds United di Stadium London sebagai perlawanan terbesar dalam karier pengurusannya selama 14 tahun.
“Kami mewakili kelab besar dengan sokongan luar biasa. Kami perlu memastikan penyokong bangga dengan kami,” katanya. – AGENSI










