Zii Jia sudah pulih 100 peratus

Zii Jia sudah pulih 100 peratus

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia semakin hampir menggalas cabaran negara pada saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali 

Pemain berusia 28 tahun itu sudah kembali menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sejak Rabu lalu dan jurulatihnya, Liew Daren mengesahkan Zii Jia berada pada tahap memuaskan menjelang kejohanan berprestij itu.

“Bagi saya, (Zii Jia) berada dalam keadaan baik dan tidak ada sebarang masalah, cuma perlu meningkatkan latihan sebagai persediaan ke arah Piala Thomas. Bagi saya, itu perkara yang paling penting.

“Berhubung kecederaan yang dialami, memang ianya sudah pulih 100 peratus. Harap selepas ini tidak ada sebarang kecederaan lagi,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di ABM semalam.

Sebelum ini, timbul tanda tanya mengenai status penyertaan Zii Jia apabila kelibatnya tidak kelihatan ketika pemain lain sedang sibuk membuat persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Namun, kepulangannya ke gelanggang latihan nyata meredakan segala spekulasi yang berlegar sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Daren turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei serta Institut Sukan Negara (ISN) yang tampil membantu dari aspek rawatan.

“Pertama sekali terima kasih kepada ISN dan Datuk (Chong Wei) kerana menawarkan rawatan secara percuma. Setakat ini, memang tidak ada masalah dan kita berada dalam situasi cukup baik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN