Zii Jia ‘kembali ke pangkuan’ BAM

Zii Jia ‘kembali ke pangkuan’ BAM

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengesahkan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia akan turun berlatih bersama skuad kebangsaan bermula hari ini.

Jonassen berkata, kehadiran Zii Jia bukan sekadar melengkapkan sesi latihan, sebaliknya membawa nilai tambah dari segi intensiti dan kualiti persiapan pasukan menjelang Piala Thomas hujung bulan ini.

Menurut jurulatih kelahiran Denmark itu, sesi latihan skuad Piala Thomas bersama Zii Jia akan memberi tumpuan kepada simulasi perlawanan yang dirangka khusus mengikut keperluan pemain berusia 28 tahun berkenaan.

“Ya, beliau akan menyertai latihan kami dan kami mempunyai beberapa hari khusus untuk sesi ‘match play’. Saya tidak sabar untuk menyambut kedatangannya kerana latihan ini disesuaikan dengan perancangannya serta pelan keseluruhan pasukan,” katanya Jonassen.

Tambah Jonassen, penyelarasan antara kem Zii Jia termasuk jurulatihnya yang juga bekas pemain kebangsaan, Liew Daren dan barisan kejurulatihan ABM menjadi elemen penting bagi memastikan manfaat maksimum dapat diperoleh kedua-dua pihak.

Katanya, komunikasi yang jelas serta matlamat bersama menjadi asas kepada kerjasama tersebut, sekali gus membuka ruang kepada suasana latihan yang lebih kompetitif.

“Kami percaya kepada proses di sini dan apabila berbincang mengenai latihan bersama ini, kedua-dua pihak mempunyai pemikiran yang positif tentang apa yang ingin dicapai.

“Kami juga mempunyai pemain-pemain berkualiti di sini, jadi saya lihat ini sebagai satu hubungan kerja yang sangat baik,” katanya.

Sebelum ini, Zii Jia juga bersetuju menyertai kem latihan berpusat di Herning, Denmark bermula 14 April ini, manakala seorang lagi pemain profesional lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin sudah memulakan latihan di ABM sejak kelmarin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN