PETALING JAYA: Bintang warisan Harimau Malaya, Richard Chin meraih trofi pertama dalam karier profesionalnya di Scotland selepas membantu Raith Rovers muncul juara Scottish Challenge Cup.
Kejayaan itu hadir selepas Raith Rovers menewaskan Inverness Caledonian Thistle 4-1 pada aksi final, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan kelab berkenaan sejak musim 2022.
Perlawanan bermula dengan Raith Rovers tampil agresif apabila penyerang tinggi lampai, Innes Cameron membuka tirai jaringan pada minit ke-29 untuk meletakkan pasukannya di depan.
Bagaimanapun, Inverness berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alfie Stewart lapan minit kemudian sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Cameron sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-55 sebelum Dylan Easton menambah dua lagi jaringan pada minit ke-60 dan 69 untuk memastikan kemenangan selesa Raith Rovers.
Lebih manis, Richard dimasukkan sebagai pemain gantian seminit selepas gol keempat, dengan bekas pemain Charlton Athletic itu membantu memperkemaskan benteng pasukan sehingga wisel penamat.
Kejayaan menjulang trofi ini menjadi detik bermakna buat Richard yang semakin menonjol bersama Raith Rovers selain mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain sayap Harimau Malaya yang sedang meningkat naik di Eropah.
Biarpun tidak tersenarai dalam skuad menentang Vietnam baru-baru ini, perkembangan terbaru itu pasti memberi khabar positif untuk Richard dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan dalam aksi seterusnya.
Selepas ini, skuad kendalian Peter Cklamovski akan menyertai Piala AFF pada Julai depan serta saingan Piala ASEAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September.









