PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengelak calon ‘kitar semula’ dalam pemilihan kepimpinan baharu badan induk itu yang dijangka berlangsung pada Ogos atau September depan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, FAM memerlukan muka-muka baharu yang boleh mengembalikan semula imej badan induk itu dan kehadiran ‘orang baharu’ dilihat mampu menampilkan idea-idea lebih segar.
Katanya, kemunculan dua gerakan dalaman yang dikaitkan dengan kem tertentu dalam FAM seharusnya membuka ruang kepada pertandingan yang lebih sihat, namun perkara paling utama adalah memastikan proses pemilihan berlangsung secara telus dan berintegriti.
“Kalau ada pertandingan, itu positif. Kita mahu pemilihan yang telus. Tetapi lebih penting, kita perlukan calon baharu, bukan calon yang sama berulang kali. Kita harap peluang diberikan kepada muka baharu, walaupun mereka pernah berada dalam FAM, tetapi tampil dengan idea dan pendekatan segar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pekan menegaskan, kepimpinan baharu itu perlu bebas daripada sebarang kontroversi serta memiliki rekod komitmen dan semangat tinggi dalam memajukan bola sepak negara.
Katanya, calon berkenaan juga perlu mempunyai pengalaman dalam sukan itu sendiri, sama ada sebagai bekas pemain atau individu yang benar-benar memahami ekosistem bola sepak tempatan.
“Selain itu, mereka mesti ada rangkaian yang kukuh dengan pihak luar termasuk korporat, serta mendapat kepercayaan pemegang taruh. Ini penting untuk memastikan pembangunan bola sepak kita lebih mampan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pekan mengkritik kecenderungan mengekalkan pemimpin lama, termasuk yang masih terpalit dengan pelbagai isu sepanjang memegang jawatan sebelum ini.
“Kita kenal siapa mereka. Tak perlulah terlalu ghairah untuk kembali. Lebih baik beri laluan kepada pemimpin baharu. Kalau benar mahu tahu kehendak penyokong, buatlah tinjauan. Saya yakin majoriti mahukan perubahan,” katanya.
Tambahnya, kepimpinan dalam badan sukan bukanlah satu hak peribadi, sebaliknya satu amanah untuk berkhidmat kepada rakyat dan peminat bola sepak tanah air.
“Kita berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk diri sendiri. Jangan rasa itu hak mutlak kita. Bola sepak ini milik semua,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan agar sebarang usaha menyekat kemasukan individu baharu dalam kepimpinan FAM dihentikan, kerana ia hanya akan merencatkan perkembangan sukan tersebut.
“Jangan sampai kita sendiri yang menutup ruang kepada orang lain. Itu yang menyebabkan kita asyik nampak muka sama sahaja,” katanya.-UTUSAN










