Jinoreeka dapatkan bimbingan jurulatih Mesir - Utusan Malaysia

Jinoreeka dapatkan bimbingan jurulatih Mesir

Jinoreeka Ning (depan) sewaktu beraksi menentang Anrie Goh pada perlawanan akhir Kejohanan Satellite CIMB SRAM 2026 di Kompleks Skuasy Jalan Duta, Kuala Lumpur, kelmarin. -IHSAN RANDY CHITTY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy sedang meningkat naik, Jinoreeka Ning membuktikan bakatnya wajar diberi perhatian apabila mengejutkan lawan yang jauh lebih senior berbanding dirinya pada final Kejohanan Satellite CIMB SRAM 2026 di Kompleks Skuasy Jalan Duta dekat ibu negara, kelmarin.

Gadis berusia 15 tahun berasal dari Ipoh, Perak itu menewaskan Anrie Goh, 19, yang diletakkan sebagai pilihan pertama 11-6, 11-4, 12-10 untuk kategori Bawah 19 Tahun.

Bagi memastikan bakat pemain itu dapat berkembang sewajarnya, bapa Jinoreeka, Manivannan Ramasamy berkata, untuk tahun ini, dia telah menyusun program latihan anaknya itu dengan Mesir menjadi destinasi pilihannya bagi mendapatkan bimbingan jurulatih terbaik di sana.

“Pada 16 Jun ini, saya dan Jinoreeka akan terbang ke Mesir selama dua minggu untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih, Omar Aziz yang pernah membimbing ramai jaguh handalan dunia seperti Nouran Gohar, Hania El Hammamy, Karim Gawad dan Youssef Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Manivannan, dia sanggup mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM20,000 untuk membayar yuran jurulatih tersebut bagi tempoh dua minggu.

“Saya tahu kualiti yang dimiliki jurulatih Omar dan beliau sendiri yang menyatakan kesediaan untuk melatih Jino (nama panggilan Jinoreeka) selepas melihat ranking dan potensi anak saya,” ujarnya.

Ketika ditanya pula tempat latihan Jinoreeka jika tidak terbang ke Mesir, Manivannan berkata, Kuala Lumpur merupakan lokasi pilihannya memandangkan di Perak, tiada jurulatih dan rakan sepelatih yang mampu membantu program pembangunan anaknya itu.

Walaupun, Jinoreeka bersekolah di Ipoh iaitu Sekolah Menangah Kebangsaan Perempuan Methodist, jelas Manivannan, dia sanggup berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur demi anaknya itu.

“Di Kuala Lumpur, Jinoreeka akan mendapat sokongan daripada jurulatih Malaysia dan ramai pemain yang mampu menjadi rakan sepelatihnya. Di Ipoh tidak ada semua itu, jadi, saya terpaksa berkorban demi masa depan anak saya ini,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Manivannan berkata, anaknya itu boleh sahaja belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dengan sokongan SRAM, tetapi, dia memilih untuk memantau sendiri perkembangan Jinoreeka.

“Sebagai bapa saya tak mahu dia tertekan dan tidak akan sesekali bercakap dekat Jinoreeka yang dia mesti jadi juara dunia satu hari nanti, saya tahu dia tidak seperti remaja lain bebas pergi tengok wayang, tetapi, ini pilihannya, jadi, saya ikutkan sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN