Jangan heret Liga M kembali ke era ‘semi pro’

Jangan heret Liga M kembali ke era ‘semi pro’

ZAINAL ABIDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berharap kelab tidak mengambil langkah drastik yang merugikan dalam usaha menangani kemelut kewangan Liga Malaysia (Liga M).

Tegasnya, cadangan seperti menetapkan gaji siling, kembali ke era separuh profesional, atau mengehadkan kuota pemain asing hanya akan ‘mematikan’ daya saing kelab Malaysia di peringkat antarabangsa.

​Zainal, yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menyifatkan sebarang percubaan untuk menyekat kemajuan pasukan yang sudah berjaya sebagai satu langkah ke belakang yang membimbangkan.

​Menurut beliau, kunci utama dalam era profesional bukanlah dengan mengekang bajet secara paksa, tetapi keberanian kelab untuk menguruskan dana dengan bijak dan strategik.

​Zainal turut meluahkan kebimbangan terhadap ideologi segelintir pihak yang seolah-olah mahu ‘menghukum’ pasukan yang dominan demi merapatkan jurang persaingan secara buatan.

​”Solusi untuk semua pasukan adalah berbelanja mengikut kemampuan. Mengutamakan fasiliti dan pembangunan. Liga lain di Eropah umpamanya Jerman, Belanda, Sepanyol dan juga Thailand semua boleh mengikut kaedah ini.

​”Namun, di Malaysia ada yang berfikiran bahawa untuk liga maju, pasukan yang berjaya harus dikekang. Ideologi ini adalah langkah ke belakang dan akan membawa liga balik ke era ‘semi-pro’ (separuh profesional),” katanya.

Terdahulu, beberapa kelab Liga M menyatakan kesediaan untuk ke meja bulat bagi membincangkan mengenai situasi yang dialami semua pasukan terutama membabitkan isu kewangan dan struktur bagi memastikan kelangsungan liga tempatan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada cadangan-cadangan tersebut muncul daripada niat yang ikhlas untuk membaiki liga atau sekadar didorong oleh rasa kurang senang terhadap kejayaan pihak lain.

​”Adakah sikap cemburu kita harus berundur atau pasukan tidak mendapat kejuaraan sanggup mengubah liga. Kita harus bersaing dengan bijak baru ada kemajuan, bukan berundur. Penyokong tahu menilai, mereka akan tetap menyokong pasukan jika ada kemajuan,” jelasnya.

​Zainal turut mengingatkan peminat bola sepak tempatan seharusnya berasa bangga apabila ada pasukan Malaysia yang kini sudah mampu bersaing di kejohanan tertinggi Asia.

“Mengubah struktur liga menjadi lebih kecil dan terhad hanya akan merencat momentum positif yang telah dibina selama ini. Kemajuan sebenar akan hadir melalui persaingan yang sihat dan pengurusan yang profesional, bukan dengan memaksa semua pasukan kembali ke ‘takuk lama’ demi kelangsungan jangka pendek,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN