PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia dalam ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terus menjunam selepas tewas 1-3 kepada Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.
Berdasarkan kemas kini terkini di laman rasmi FIFA, skuad Harimau Malaya kini berada di tangga ke-138 dunia dengan 1,086.23 mata, sekali gus merosot tiga anak tangga berbanding kedudukan ke-135 minggu lalu.
Kedudukan itu menyaksikan Malaysia jatuh sehingga 17 anak tangga berbanding posisi ke-121 yang dicatatkan pada Januari lalu dan ia memberi gambaran jelas pemalsuan dokumen tujuh pemain memberi impak besar kepada skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, FIFA memaklumkan bahawa kemas kini ranking secara langsung tersebut masih belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada pengesahan semua perlawanan sebagai aksi antarabangsa kelas ‘A’.
Penurunan mendadak itu turut dipengaruhi keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua perlawanan kelayakan melibatkan Malaysia sebelum ini, iaitu menentang Nepal dan Vietnam.
Rekod asal, Malaysia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac tahun lalu, selain menewaskan Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun.
Namun, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada 17 Mac lalu memutuskan kedua-dua perlawanan tersebut diubah kepada kekalahan 0-3 selepas Malaysia didapati menurunkan pemain yang tidak layak.
Keputusan itu dibuat susulan isu pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kejatuhan ranking Malaysia sebenarnya telah bermula lebih awal apabila FIFA turut membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin yang berlangsung sebelum ini.
Dalam aksi tersebut, Malaysia pada asalnya seri 1-1 dengan Cape Verde serta mencatat kemenangan ke atas Singapura (2-1) dan Palestin (1-0), namun semuanya ditukar kepada kekalahan 0-3 oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kerana kesalahan sama, sekali gus menjejaskan kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia.-UTUSAN










