SIAPA sangka, daripada seorang bekas atlet kebangsaan yang dibayar elaun RM800, sebelum memiliki gaji lima angka namun kini mampu berdiri megah sebagai pemilik empayar perniagaan yang memiliki aset bernilai kira-kira RM40 juta.
Itulah kesungguhan bekas kapten skuad hoki remaja negara, Muhammad Haziq Samsul, yang menyaksikan usahanya berniaga sejak belasan tahun membuahkan hasil yang sangat luar biasa dan pencapaian itu tidak dicapai dengan jalan mudah.
Beliau yang mewakili skuad negara sejak 2012, kini boleh berbangga mampu membina Bottol Garage Empire, iaitu sebuah perniagaan yang menawarkan khidmat membaiki dan menjual alat ganti serta aksesori motosikal yang semakin dikenali ramai.

Mengimbau kembali detik awal, Haziq sememangnya seorang yang minat berniaga dan pelbagai jenis perniagaan diusahakan iaitu kedai gunting rambut, jual baju pakaian terpakai, jual aksesori telefon, topi keledar dan sebagainya, namun diakui bahawa segala usaha tersebut pada mulanya tidak menjadi.
Begitupun, kegagalan itu menjadi ‘guru’ terbaik buat Haziq dalam mengenal dunia perniagaan dan segala ilmu itu digunakan sehingga terbinanya Bottol Garage Empire yang di usahasama dengan isteri tercinta.
Haziq yang pernah beraksi di kejohanan berprestij termasuk Piala Dunia Remaja 2013 serta Sukan Komanwel 2014 tidak lagi menoleh ke belakang dalam mengejar kejayaan dan kini empayarnya semakin kukuh dengan memiliki sembilan cawangan di seluruh negara dan memiliki 120 orang pekerja setakat ini.
“Saya tidak belajar tinggi hanya ada SPM dan ilmu berniaga pun saya tidak belajar dengan sesiapa. Daripada dulu memang saya minat berniaga sejak dulu lagi kerana dulu elaun main hoki hanya RM800, sebelum mempunyai gaji puluhan ribu.
“Tetapi masa saya mula alami kecederaan meniskus dan menjalani pembedahan daripada situ saya terfikir, sampai masa saya tidak akan mampu bermain, jadi perlukan perancangan masa depan lebih cerah terutama bagi menanggung keluarga.
“Dalam kata mudah kita hanya diperlukan apabila mereka(pasukan hoki) perlukan, jika sudah cedera atau tidak lagi berada dalam prestasi terbaik maka perlu fikir sendiri cara jana pendapatan.
“Nama bottol itu sempena saya kutip botol suatu ketika dahulu. Saya daripada keluarga susah, bila habis sekolah dulu, saya akan kutip botol untuk tambah pendapatan. Sebab itu kawan-kawan panggil saya nama gelaran botol,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bercakap mengenai kos operasi, Haziq menjelaskan bahawa komitmen bulanan yang perlu ditanggungnya mencecah antara RM600,000 sehingga RM700,000, namun nilai jualan diperolehi menunjukkan angka mengagumkan bagi seorang usahawan muda yang baru berusia 32 tahun.
“Daripada hanya seorang kakitangan pada hari pertama, sekarang saya perlu menggaji 120 kakitangan untuk sembilan cawangan ini.
“Kos yang perlu saya tanggung untuk sebulan sahaja iaitu termasuklah gaji pekerja dan sewa premis dianggarkan antara RM600,000 sehingga RM700,000.
“Secara purata jualan setiap bulan dianggarkan RM3 juta. Tahun lalu kami berjaya buat jualan kira-kira RM30 juta. Jadi kalau ada orang tawarkan RM40 juta untuk ambil alih perniagaan saya ini, saya akan lepaskan. RM40 juta itulah nilai perniagaan saya sekarang,” katanya.

Meskipun telah berjaya namun Haziq sendiri mengakui masih berasa rendah diri dan seakan tidak percaya dengan pencapaiannya dalam dunia perniagaan yang dicapai dalam tempoh yang singkat.
Haziq menyifatkan kejayaan ini sebagai satu amanah dan peluang daripada Yang Maha Esa untuk beliau membantu masyarakat sekeliling.
“Mungkin Allah bagi peluang kepada saya untuk buka peluang pekerjaan kepada orang lain. Kalau saya nak jadi seorang pemain hoki yang berjaya, saya kena lakukannya.
“Begitu juga dalam perniagaan, kalau saya tak berjaya sebagai seorang ahli perniagaan, saya kena salahkan diri sendiri,”jelasnya.
Bagi perancangan masa hadapan, Haziq memilih untuk bersikap tenang dan tidak mahu tergesa-gesa mengembangkan perniagaan dengan menambah terlalu banyak cawangan baru.
“Saya nak kekalkan saja cawangan yang ada tetapi perlu tingkatkan servis (perkhidmatan) kepada lebih baik. Kalau kita berikan perkhidmatan terbaik pasti ramai yang terus menyokong perniagaan kita,”katanya.
Dalam pada itu, beliau tetap menghargai perjalanan kariernya sebagai atlet hoki, terutamanya sepanjang 10 tahun mewakili skuad kebangsaan yang banyak membentuk disiplin dirinya.

Sebagai seorang yang sudah merasai pahit manis dunia sukan, beliau sempat menitipkan nasihat berguna buat para atlet lain agar mempunyai perancangan selepas persaraan.
“Saya nasihatkan kepada atlet-atlet carilah apakah kelebihan atau minat anda. Jika ada keperluan untuk belajar atau sertai kursus tertentu, ambillah.
“Sekurang-kurangnya apabila kita tidak lagi diperlukan, kita sudah ada sesuatu apa yang perlu dilakukan untuk kehidupan seterusnya,” ujarnya.










