PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui Sukan Para Asia sebagai medan paling penting untuk mengukuhkan legasinya di pentas Asia.
Jelasnya, pencapaian yang dirangkulnya itu sejak beberapa edisi lalu enggan dilepaskan sebaliknya mahu terus kilauan emas itu kekal menjadi miliknya selama mungkin.
“Para Asia memang sasaran utama saya. Sejak 2014, saya sudah empat kali bertanding di temasya ini, jadi harapan saya untuk kekalkan pingat emas di Nagoya tidak berubah,” kata Ziyad.
Bagi memastikan sasaran itu tercapai, atlet berusia 36 tahun ini menjalani persiapan rapi melalui siri kejohanan kompetitif yang dirancang khusus bagi menguji prestasinya.
“Sebelum Para Asia, saya akan sertai banyak kejohanan, termasuk Terbuka Sarawak dan pertandingan di Maghribi selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Biasanya jurulatih atur 10 hingga 11 kejohanan untuk persediaan,” katanya ketika Majlis berbuka puasa bersama Majlis Sukan Negara(MSN) di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ziyad menekankan setiap pertandingan bukan sekadar latihan, tetapi medan penting untuk mengekalkan konsistensi dan menambah baik prestasi menjelang kemuncak musim.
Walaupun sudah mencipta pelbagai kejayaan, Ziyad menegaskan komitmennya terhadap sukan tidak pernah berbelah bahagi.
“Saya tidak pernah lakukan ini sambil lewa. Saya tidak selesa dengan pencapaian sedia ada. Saya mahu cipta nama, dikenali, dan bersungguh-sungguh dalam setiap peluang.
“Walaupun umur semakin meningkat, saya tetap mahu buktikan yang saya masih mampu beri prestasi terbaik dalam setiap pertandingan,” ujarnya.-UTUSAN











