PETALING JAYA: Kejayaan Datuk Azizulhasni Awang meraih emas acara keirin pada pusingan pembukaan Piala Dunia Trek di Perth, Australia kelmarin membuktikan jaguh berbasikal trek negara itu masih mampu mencabar pelumba terbaik dunia walaupun kini sudah menginjak usia 38 tahun.
Kemenangan dramatik itu sekaligus membuka semula perbincangan mengenai masa depan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang sebelum ini memberi bayangan musim ini mungkin menjadi aksi yang terakhir buatnya di pentas Piala Dunia.
Namun Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu sendiri mengakui hala tuju kariernya selepas musim ini masih belum diputuskan sepenuhnya walaupun dia merancang memberi tumpuan kepada beberapa kejohanan utama.
Azizulhasni menegaskan hanya untuk fokus beberapa kejohanan besar pada musim ini sebelum memberi bayangan untuk menggantung basikalnya, sekali gus mendedahkan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bukan dalam radarnya.
“Sebenarnya saya perlu mendapatkan keizinan daripada isteri saya terlebih dahulu (untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028).
“Apa yang boleh saya katakan musim ini adalah penampilan Piala Dunia terakhir saya sebelum saya memberi fokus kepada Sukan Komanwel dan juga Sukan Asia,” kata Azizulhasni.
Menurutnya, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan cabaran di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Shanghai sekiranya jadual perlumbaan sesuai selepas temasya Asia tersebut.
“Mungkin selepas itu saya boleh sertai Kejohanan Dunia di Shanghai kerana ia berlangsung dua minggu selepas Sukan Asia.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan kerana kami hanya bergerak langkah demi langkah dan saya sendiri bukan lagi pelumba muda,” katanya.
Kelmarin, Azizulhasni berjaya menewaskan pelumba Britain, Matthew Richardson menerusi penamat dramatik selepas kedua-duanya dipisahkan hanya beberapa sentimeter di garisan penamat.-UTUSAN










