PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan reputasi kelab itu dengan mengait dengan dana awam sebagai satu usaha terdesak
Baginda yang juga merupakan pemangku Sultan Johor berkata, tuduhan berkenaan amat memalukan dan sengaja dicipta bagi memburukkan imej Harimau Selatan selaku gergasi Liga Malaysia (Liga M).
“Terlalu terdesak. Sungguh memalukan. Mereka tak mampu bersaing, jadi mereka cuba sedaya upaya mencari jalan lain untuk menjatuhkan Kelab JDT kami. Cuba lagi,” tulis Tunku Ismail di laman sosialnya.
Semalam, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menepis dakwaan yang tular di media sosial kononnya 91 peratus hasil pendapatan kelab pada tahun 2024 datang daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan adalah tidak tepat dan satu salah tafsir terhadap fakta sebenar.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, angka yang diperkatakan itu timbul daripada salah faham terhadap cara penyaluran dana penajaan sukan di Malaysia.
Menurut Edwards, walaupun akaun kewangan teraudit kelab menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, perkara itu sebenarnya adalah prosedur operasi standard bagi tujuan penyaluran dana.
“Kelab JDT dengan tegas menafikan dakwaan di media sosial bahawa 91 peratus daripada hasil pendapatan kelab pada tahun 2024 datang daripada sumber awam atau berkaitan kerajaan kerana ia adalah tidak tepat, tidak berasas serta satu salah tafsir terhadap fakta sebenar.
“Walaupun akaun kewangan teraudit JDT menyenaraikan Majlis Sukan Negeri Johor serta geran atau sumbangan kerajaan, ia hanyalah prosedur operasi standard di mana dana disalurkan melalui saluran tersebut bagi pelbagai tujuan,” katanya.
Tambah Edwards, sebahagian besar daripada jumlah yang diperkatakan sebenarnya datang daripada penajaan syarikat swasta yang disalurkan melalui majlis sukan bagi tujuan pelepasan cukai.-UTUSAN










