KUALA LUMPUR: Masih belum ada peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tahun ini, walaupun Kejuaraan Motosikal Dunia telahpun bermula di Buriram, Thailand, minggu lalu.
“Peruntukan, setakat ini tak ada. Kita tak ada peruntukan untuk itu setakat inilah,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol ketika mengulas sama ada kerajaan ada menyediakan peruntukan kepada pelumba muda berbakat besar itu.
Terdahulu, Mordi menghadiri Majlis Menandatangani dan Pengumuman Kerjasama MSi Racing Team dengan AEON Credit di sini, semalam.
Jawapan yang diberikan Mordi telah membangkitkan persoalan tentang sokongan KBS terhadap pelumba tersebut tahun ini, sedangkan pada tahun lalu sewaktu di bawah kepimpinan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan, Hakim Danish menerima peruntukan sebanyak RM3 juta.
Peruntukan itu adalah daripada Program MDEV Berprestasi Tinggi 2025 dengan tambahan RM1juta untuk menyokong penyertaan Hakim Danish dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP 2025 melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).
Mengulas mengenai AEON Credit yang menjadi penaja utama buat pasukan diwakili Hakim Danish dalam Moto3, Mordi berkata, beliau berterima kasih kepada syarikat tersebut dan kerjasama yang terjalin itu diharap dapat membuka mata agensi korporat lain supaya terlibat dalam membantu bakat-bakat muda berkembang.
“Kita tak dapat bergantung dengan dana kerajaan semata-mata sebab semua tahu kos untuk sukan permotoran ini sangat tinggi, bukan murah. Jadi kita perlukan kemampanan sukan ini melalui kerjasama strategik daripada syarikat korporat,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin ketika ditanya mengenai peruntukan daripada KBS berkata, perkara tersebut perlu dijawab sendiri oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang selama ini berusaha keras untuk membantu membangunkan sukan permotoran negara.
“Saya percaya sokongan itu ada dan sebenarnya dari tahun pertama kita buat program ini, KBS sentiasa bersama kita. Untuk kata KBS tidak menyokong, saya rasa tidak patut sebab semua pelumba kita seperti Qabil Irfan dan Hakim Danish antara yang terbaik di dunia.
“KBS perlu lihat perkara ini dengan lebih baik sebab bakat sebegini susah nak jumpa, mungkin 10 tahun sekali baru ada,” katanya.
Menurutnya, beliau tetap yakin dengan sokongan KBS kerana Dr. Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu memberi perhatian yang baik untuk Hakim Danish sejak kebelakangan ini.-UTUSAN










