LONDON: Strategi ‘bola mati’ Mikel Arteta bersama Arsenal sekali lagi membuahkan hasil ketika The Gunners menumpaskan Chelsea 2-1 hasil penyudah menerusi sepakan sudut, semalam.
Dua tandukan daripada William Saliba dan Jurrien Timber di Stadium Emirates membolehkan Arsenal melebarkan jurang lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Gunners kini menjaringkan 16 gol hasil sepakan sudut musim ini, sekali gus menyamai rekod tertinggi dalam sejarah EPL yang sebelum ini dicatat oleh Oldham dan West Bromwich Albion.
Dalam misi memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004, kehebatan Arsenal dalam situasi bola mati kini muncul sebagai senjata utama pasukan itu dan ia diakui sendiri oleh Mikel Arteta.
“Kami tahu betapa pentingnya ‘duel’ individu dalam situasi bola mati kerana Chelsea pasukan yang sangat kuat menyerang dan bertahan ketika itu.
“Sebenarnya, semua pasukan dalam liga ini berkualiti tinggi dalam set-piece. Ia sangat penting. Kami pernah kehilangan mata akibat balingan jauh dan kebelakangan ini tidak banyak menjaringkan gol daripada set-piece.
“Hari ini (semalam) kami lakukannya. Memiliki pelbagai pilihan seperti ini amat berharga. Kami berada di landasan terbaik,” kata pengurus Arsenal itu.
Keyakinan Arteta terhadap strategi bola mati ternyata berasas, memandangkan Arsenal kini bersaing untuk meraih empat trofi musim ini selepas bangkit daripada kemerosotan prestasi dengan menewaskan Tottenham dan Chelsea secara berturut-turut.
“Kami sangat gembira kerana sedar dua perlawanan lalu sangat sukar. Sikap, keinginan untuk menang dan dominasi pasukan sangat memuaskan. Pada Mac, kami masih bersaing dalam semua kejohanan. Kami berada di kedudukan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, pengurus Chelsea, Liam Rosenior kecewa dengan kegagalan pemainnya mengekang ancaman sepakan sudut Arsenal walaupun mereka sudah merangka pelan baharu.
“Untuk bolos dua gol daripada set-piece yang akhirnya menentukan keputusan perlawanan adalah sangat mengecewakan,” katanya.
“Kami juga bolos daripada sepakan sudut ketika menentang Burnley minggu lalu. Ini masalah yang sedang menjejaskan kutipan mata kami,” katanya.- AGENSI










