Speedy Tigers belum capai standard

Speedy Tigers belum capai standard

FIH Hockey World Cup 2026 Qualifiers, Ismailia (M) 19 Malaysia v Japan (3/4) Picture: HAYASUKE Sana of Japan clashes with Muhammad Jalil (C) player of Malaysia WorldSportPics/Frank Uijlenbroek No Archive Allowed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui prestasi anak buahnya belum mencapai tahap sebenar selepas tewas 4-5 kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga pada kelayakan Piala Dunia Hoki 2026 di Mesir, kelmarin.

Menurut Sarjit, walaupun skuad negara berjaya mendahului perlawanan 3-1, kegagalan memanfaatkan peluang di hadapan gol akhirnya membuka ruang kepada Jepun untuk bangkit mencuri kemenangan.

Sarjit melihat barisan serangan negara sepatutnya mampu menamatkan perlawanan lebih awal sekiranya peluang yang dicipta berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

“Kalau ikutkan, prestasi kami tidak mencapai standard sebenar kerana kami tidak bermain seperti mana dalam empat perlawanan sebelum ini.

“Kami sebenarnya tidak terlalu buruk apabila berjaya mendahului 3-1 dan menggerakkan bola dengan baik, tetapi kami memberi ruang kepada lawan untuk bangkit semula,” kata Sarjit.

Sarjit turut mengakui faktor keletihan mungkin mempengaruhi prestasi pemain selepas mengharungi jadual padat sepanjang kejohanan tersebut.

“Mungkin pemain sedikit keletihan selepas perlawanan keenam, namun walaupun misi utama sudah tercapai iaitu layak ke Piala Dunia, kami sepatutnya memenangi perlawanan ini tanpa sebarang alasan,” katanya.

Walaupun tewas, Malaysia tetap mengesahkan tempat ke Piala Dunia Hoki 2026 di Belanda dan Belgium pada 14 hingga 30 Ogos depan kerana slot ketujuh kejohanan diberikan kepada pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi antara dua pasukan yang kalah dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di kedua-dua kelayakan.

Pada satu lagi kelayakan yang berlangsung di Chile, keputusan Wales menentang Poland dalam aksi penentuan ketiga dan keempat, tidak akan menjejaskan ranking Speedy Tigers.

Berdasarkan ranking semasa daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Jepun di kedudukan ke-14 dunia, diikuti Malaysia (15), Wales (17) dan Poland (20).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN