WOLVERHAMPTON: Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengakui pasukannya perlu segera mencari formula bagi mengatasi tabiat bolos pada penghujung perlawanan selepas tewas memalukan 1-2 kepada Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Kekalahan di laman Wolves itu menambahkan tekanan terhadap pengendali dari Belanda itu yang sebelum ini diharapkan mampu membawa nafas baharu kepada gergasi Merseyside musim ini.
Beraksi di Molineux Stadium, Liverpool bermula perlahan sebelum dikejutkan jaringan Rodrigo Gomes pada minit ke-78, bagi memberi kelebihan berharga kepada pasukan tercorot liga itu.
The Reds bagaimanapun tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Mohamed Salah menyamakan kedudukan menerusi penyudah tenang, sekali gus menghidupkan semula harapan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir keputusan seri, malang kembali menimpa pelawat apabila percubaan Andre terkena benteng pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol, Alisson Becker, untuk gol kemenangan Wolves.
Statistik jelas tidak memihak kepada Liverpool musim ini apabila mereka sudah lima kali tewas akibat jaringan pada minit ke-90 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), jumlah tertinggi pernah dicatatkan oleh mana-mana pasukan dalam satu musim pertandingan itu.
Slot mengakui situasi tersebut amat membimbangkan dan menuntut pemainnya lebih fokus serta berdisiplin pada penghujung permainan bagi mengelak musim ini terus suram.
“Kami hampir tidak memberikan peluang, mencipta peluang tidak banyak tetapi lebih daripada mereka, namun keputusan sekali lagi berakhir dengan kekalahan 1-2.
“Kami terlalu banyak tewas dan tercicir mata. Adakah sekali lagi kami bolos pada masa tambahan?
“Tiga kekalahan dalam 22 perlawanan terakhir semuanya berlaku pada masa tambahan,” kata Slot yang membelanjakan kira-kira 450 juta pound (RM2.7 bilion) untuk memperkukuh pasukan musim ini.-AGENSI










