MANCHESTER: Ejen Benjamin Sesko menolak label ‘super sub’ yang diberikan kepada pemain itu, ketika penyerang bernilai 74 juta pound (RM392 juta) tersebut berusaha mendapatkan tempat kesebelasan utama bersama Manchester United.
Sesko telah menjaringkan sembilan gol dalam musim sulungnya di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas perpindahan besar dari RB Leipzig pada musim panas lalu.
Tujuh daripada gol tersebut hadir sejak awal tahun ini dengan pemain Slovenia itu memberi impak besar sejak pemergian Ruben Amorim sebagai pengurus Man United pada Januari.
Jumlah penampilan Sesko dalam EPL adalah seimbang, dengan 13 kali sebagai kesebelasan utama dan 13 lagi sebagai pemain gantian.
Sesko menjaringkan gol kemenangan menentang Fulham dan Everton, gol penyamaan saat akhir menentang West Ham serta gol ketiga yang mengesahkan kemenangan ke atas Aston Villa selepas masuk sebagai pemain gantian.
Impak tersebut menyebabkan Sesko digelar ‘super sub’ namun ejennya, Elvis Basanovic tidak bersetuju dengan label itu.
“Jika anda tanya saya tentang gelaran ini, saya tidak menyukainya. Saya lebih suka ‘penyerang super’. Saya fikir Benjamin adalah seorang penyerang hebat.
“Dia telah memulakan 13 perlawanan tahun ini dan masuk sebagai pemain gantian dalam 13 perlawanan. Dia menjaringkan separuh golnya ketika bermula dalam kesebelasan utama dan separuh lagi sebagai pemain gantian.
“Kita boleh lihat dia adalah penyerang yang lengkap dan Benjamin layak digelar ‘penyerang super striker’,” katanya. – AGENSI










