Russell jinakkan Ferrari dalam pecut GP China

Russell jinakkan Ferrari dalam pecut GP China

George Russell (tengah) memenangi perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) China, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: George Russell memenangi perlumbaan pecut penuh dramatik di Grand Prix (GP) China selepas aksi sengit yang menyaksikan beberapa pertukaran pendahulu serta kemunculan kereta keselamatan pada penghujung perlumbaan.

Pemandu Mercedes itu menguasai perlumbaan sejauh 100 kilometer (km) untuk menghadiahkan kemenangan penting buat pasukannya dalam era baharu format pecut Formula Satu (F1).

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton melengkapkan podium di tempat ketiga.

Perlumbaan bertukar dramatik apabila kereta keselamatan memasuki litar pada pusingan ke-13 daripada 19 pusingan sekali gus memaksa keseluruhan pelumba masuk ke pit untuk menukar tayar.

Russell bagaimanapun mengekalkan kedudukan pendahulu selepas keluar dari pit, sekali gus menahan asakan dua pelumba Ferrari di belakangnya sehingga ke garisan penamat.

Hamilton sebelum itu mempamerkan permulaan hebat apabila melonjak dari kedudukan keempat ke tempat kedua sebelum bertukar pendahuluan dengan Russell beberapa kali pada pusingan awal.

Persaingan sengit antara Russell dan Hamilton membuka ruang kepada Leclerc untuk terus memberi tekanan sebelum memintas rakan sepasukannya itu pada pusingan kesembilan.

Juara dunia dari Mclaren, Lando Norris menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti rakan sepasukan, Oscar Piastri di kedudukan keenam.

Sementara itu, pelumba muda Mercedes, Kimi Antonelli yang memulakan perlumbaan di barisan hadapan terpaksa berpuas hati di tempat kelima selepas dikenakan penalti 10 saat akibat pelanggaran pada pusingan pertama.

Nasib berbeza menimpa juara dunia empat kali, Max Verstappen apabila permulaan buruk menyaksikannya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, sekali gus terlepas mata berharga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN