WREXHAM: Chelsea berdepan ujian getir sebelum menyingkirkan Wrexham 4-2 pada masa tambahan dalam aksi pusingan kelima Piala FA yang penuh dramatik, semalam.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mengakui persembahan anak buahnya bukanlah yang terbaik apabila dipaksa bekerja keras oleh pasukan divisyen lebih rendah itu.
“Kami sudah mara. Itu yang paling penting.Namun ini bukan persembahan terbaik kami. Ia perlawanan yang sangat sukar, seperti yang kami jangkakan.
“Wrexham bermain dengan sangat hebat,” katanya selepas perlawanan yang sengit di tempat lawan yang hampir memalukan The Blues.
Chelsea terpaksa menunggu hingga masa tambahan sebelum dua gol lewat Alejandro Garnacho dan Joao Pedro memastikan kemenangan, selepas Wrexham beberapa kali memberi ancaman serius sepanjang perlawanan di Stadium Racecourse Ground.
Rosenior berkata, perlawanan berkenaan mencerminkan keunikan Piala FA yang sering menghadirkan cabaran luar jangka kepada pasukan besar.
“Ini benar-benar perlawanan Piala FA sebab mengapa semua orang menyukai pertandingan ini.
Saya gembira kerana kami berjaya melepasi cabaran ini dan melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.- AGENSI










