PETALING JAYA: Tujuh pemain warisan Harimau Malaya perlu ‘direhatkan’ dalam aksi berdepan Vietnam pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Hanoi pada 31 Mac ini bagi mengelak risiko lebih besar melanda skuad kebangsaan.
Pandangan tersebut disuarakan bekas penyerang negara, Safee Sali, biarpun tujuh pemain terbabit ‘bebas’ beraksi selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap mereka.
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum ini digantung selama 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) September tahun lalu kerana terpalit dengan isu pemalsuan dokumen untuk beraksi dengan Harimau Malaya.
Bagaimanapun kata Safee, cadangan itu adalah pandangan peribadinya dan segala keputusan terletak ditangan barisan kejurulatihan yang diketuai Peter Cklamovski dan pastinya semua pihak mahukan yang terbaik untuk skuad negara.
“Untuk mengambil langkah selamat dengan keadaan yang masa sekarang ini, ini pendapat saya. Saya rasa mereka (tujuh pemain) perlu berehat seketika. Itu pendapat saya. Tapi mungkin pendapat pengurusan yang lain, saya tak pasti.
“Ya, kena mengambil risiko kalau ya (mahu turunkan tujuh pemain). Kalau rasa itu berbaloi dengan apa yang ingin dipertaruhkan, saya rasa perlu dipertanggungjawabkan,” katanya selepas majlis jalinan kerjasama strategik antara AMG Undrgrnd bersama Super Safee Soccer School dan agihan bubur lambuk, baru-baru ini.
Terdahulu, tujuh pemain negara iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel mendapat talian hayat apabila CAS menangguhkan pelaksanaan hukuman oleh FIFA.
Situasi berkenaan membolehkan mereka kembali beraksi beraksi bersama kelab masing-masing sehingga keputusan baharu diumumkan kelak.
Pendengaran isu pemalsuan dokumen di CAS itu sudah didengar pada Khamis lalu dan keputusan akhir rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
Jika kesemua pemain itu didapati tidak bersalah oleh CAS, mereka boleh kembali menyarung jersi Harimau Malaya dalam perlawanan menentang Vietnam nanti, namun seandainya CAS mengekalkan hukuman diputuskan FIFA sebelum ini, pasukan kebangsaan terpaksa terbang ke Hanoi tanpa khidmat tujuh pemain terbabit.
Ketika ini Malaysia mengungguli carta Kumpulan F Kelayakan Piala Asia, namun jika didapati bersalah kedudukan Harimau Malaya bakal terancam kerana berisko berdepan pemotongan mata.-UTUSAN










