Raya suram buat pemain Kelantan TRW

Raya suram buat pemain Kelantan TRW

PEMAIN Kelantan TRW kini mendakwa tidak menerima gaji sejak dua bulan lalu.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang sambutan Aidilfitri Sabtu ini, suasana gembira yang sepatutnya dirasai pemain Kelantan The Real Warriors (TRW) bertukar sayu apabila mereka masih dibelenggu isu tunggakan gaji selama dua bulan.

Dalam tempoh hanya beberapa hari sebelum Syawal menjelma, para pemain dan pegawai pasukan kini hanya mampu berharap agar pihak pengurusan tampil menyelesaikan bayaran tertunggak bagi Januari dan Februari.

Menurut sumber dalaman, rata-rata pemain mengharapkan ‘keajaiban’ pada saat akhir demi membolehkan mereka membuat persiapan minimum bersama keluarga.

“Sedih orang lain dah buat persiapan raya tapi kami tak boleh nak beli apa-apa. Pemain juga ada keluarga dan anak-anak yang mahu membeli baju raya dan sebagainya.

“Terpaksalah anak-anak pakai baju raya tahun lepas. Itu belum lagi nak guna duit untuk bayar komitmen bulanan dan lain-lain.

“Raya tahun ini tak semeriah tahun-tahun sebelum ini. Terpaksa beraya dengan apa yang ada sahaja sementara pihak pengurusan dapat menjelaskan tunggakan.

“Ada lebih kurang empat hari ini, harap ada ‘manis-manis’ dari pihak pengurusan untuk menceriakan hari raya tahun ini,” kata sumber tersebut.

Isu tunggakan gaji bukanlah perkara baharu buat TRW apabila pasukan itu sebelum ini beberapa kali berdepan situasi sama, sekali gus memberi kesan kepada moral pemain dan prestasi di atas padang.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian pemain, malah turut memberi impak kepada keluarga mereka yang terpaksa berdepan kesukaran menjelang musim perayaan.

Para pemain kini hanya mampu berharap agar pihak pengurusan segera mengambil langkah drastik bagi menyelesaikan kemelut ini, sekali gus memastikan Aidilfitri yang bakal tiba dapat disambut dengan lebih bermakna dan tenang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN