LONDON: Pemain Manchester United berharap kelab itu dapat mengekalkan khidmat Casemiro di Old Trafford walaupun perancang tengah Brazil itu memberi bayangan mahu meninggalkan pasukan pada hujung musim ini.
Tonggak pertahanan United, Leny Yoro yang mengakui kehadiran pemain tengah berpengalaman itu amat penting buat pasukan, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Sokongan terhadap Casemiro jelas kelihatan apabila penyokong United melaungkan kata-kata ‘setahun lagi’ selepas pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan gol ketika membantu pasukan menewaskan Aston Villa 3-1, kelmarin.
Walaupun terdapat laporan bahawa keputusan untuk meninggalkan kelab mungkin sukar diubah, Yoro menegaskan bahawa majoriti pemain The Red Devils masih berharap Casemiro akan terus bersama mereka.
“Semua orang mahu dia kekal, dia seorang pemain yang sangat penting untuk kami.
“Bahkan di bilik persalinan, setiap hari, dia mempunyai pengalaman yang tiada siapa lagi dalam pasukan ini. Dia memenangi segalanya, jadi ini banyak membantu kami dalam perlawanan dan juga di luar padang,” kata Yoro.
United masih mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak Casemiro selama setahun lagi, namun pada Januari lalu kedua-dua pihak dilaporkan telah mencapai persetujuan bahawa pemain itu akan meninggalkan kelab pada jendela perpindahan musim panas.
Pengurus United, Michael Carrick memberi bayangan bahawa keputusan tersebut mungkin sukar untuk diubah walaupun mengakui pengaruh besar yang diberikan oleh Casemiro kepada pasukan.
“Saya rasa apabila sesuatu telah diputuskan, keadaan sedikit lebih mudah dan semua orang benar-benar memahami situasinya.
“Saya rasa impak yang dia berikan amat hebat, terutama sejak saya berada di sini dan bekerja dengannya, pengaruhnya dalam pasukan serta dalam momen besar dan jaringan gol,” kata Carrick.-AGENSI










