Qabil Irfan terlepas podium dalam perlumbaan 1 di Buriram

Qabil Irfan terlepas podium dalam perlumbaan 1 di Buriram

Qabil Irfan (kiri) memiliki potensi mencatat keputusan podium dalam perlumbaan 2 pada Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, esok. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan terlepas podium pertamanya, walaupun memulakan perlumbaan 1 dari grid kedua pada pusingan pertama Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Anak jati Terengganu itu menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan catatan masa 27 minit 04.161 saat (s) bagi membolehkannya mengutip 10 mata pertamanya dalam perlumbaan pembuka musim.

Wakil Jepun, Hayato Chishiki mengungguli perlumbaan tersebut dengan catatan masa terpantas 27:01.085s, manakala, rakan senegaranya, Kun Kunitate muncul selaku naib juara (27:01.102s) dan pelumba Indonesia, Bintang Pranata di kedudukan ketiga (27:03.698s).

Dua lagi pelumba Malaysia, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi dan Qayyim Razin Razali masing-masing sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-16 (27:14.684s) dan ke-17 (27:17.426s).

Qabil, Naqib dan Qayyim masih ada satu lagi perlumbaan yang bakal diharungi mereka pada pukul 10.45 pagi, esok.

Untuk Qabil, perlumbaan 2, esok, merupakan peluang terbaik buat anak muda berusia 14 tahun itu menebus kekecewaannya, hari ini dan cuba memburu kedudukan podium pula.

Tidak mustahil buat Qabil, walaupun perlumbaan di Buriram itu adalah penampilan sulungnya dalam saingan Moto4 Piala Asia.

Ini kerana Qabil telah menerima pendedahan yang baik di Eropah, selain memegang status sebagai juara ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol, musim lalu dan memburu keputusan podium tidak keterlaluan menjadi sasarannya.

Untuk Naqib dan Qayyim, mereka perlu memperbaiki lagi prestasi dan melipat gandakan usaha bagi mengejar pelumba-pelumba di kelompok hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN