PSG berpesta, Chelsea rebah di hujung perlawanan

PSG berpesta, Chelsea rebah di hujung perlawanan

PEMAIN PSG meraikan kejayaan mereka membelasah Chelsea 5-2 dalam aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di laman sendiri, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PARIS: Jurulatih Chelsea, Liam Rosenior mempertahankan penjaga golnya, Filip Jorgensen selepas kesilapan pemain itu menyebabkan mereka tewas 2-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, semalam.
Menurut Rosenior, kesilapan adalah sebahagian daripada permainan bola sepak dan Jorgensen tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya meskipun hantaran lemahnya membawa kepada gol ketiga PSG yang dijaringkan oleh Vitinha pada minit ke-74.
“Pemain membuat kesilapan dan Filip bukan yang pertama melakukannya. Ia sebahagian daripada bola sepak tetapi tetap pahit untuk diterima,” katanya.
Sebelum itu, Chelsea dua kali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Malo Gusto dan Enzo Fernandez selepas PSG terlebih dahulu berada di hadapan hasil gol Bradley Barcola dan Ousmane Dembele.
Namun, perlawanan berubah dalam tempoh 20 minit terakhir apabila PSG memanfaatkan kelalaian lawan.
Chelsea hampir menyamakan kedudukan buat kali ketiga tetapi jaringan Joao Pedro dibatalkan selepas didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
Situasi itu memberi kelebihan kepada tuan rumah yang menambah dua lagi gol lewat menerusi Khvicha Kvaratskhelia sekali gus memberikan kelebihan besar menjelang aksi timbal balik.
Rosenior mengakui kekalahan tersebut sukar diterima kerana pasukannya sebenarnya bermain baik sepanjang 70 minit pertama.
“Keputusan ini sangat mengecewakan kerana untuk sebahagian besar perlawanan saya gembira dengan prestasi pasukan.
“Namun 15 hingga 20 minit terakhir menjadi sangat kelam-kabut dan itu tanggungjawab saya. Kami tidak kekal tenang dan dihukum oleh pasukan yang sangat berkualiti,” katanya.
Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique memuji ketahanan pasukannya yang terus menekan sehingga berjaya meraih kemenangan besar.
“Kami menentang pasukan yang sangat fizikal dan berkualiti. Kami perlu terus bekerja keras dan berehat secukupnya untuk perlawanan kedua,” katanya. – AFP
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN