PKBM perlu cari pengganti ‘Jijo’

PKBM perlu cari pengganti ‘Jijo’

Azizulhasni Awang masih mampu membutirkan pingat buat Malaysia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu merangka strategi pembangunan pelumba baharu biarpun jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih berpotensi menyumbang pingat dalam kejohanan antarabangsa musim ini.

Pemerhati sukan, Datuk Pekan Ramli berkata, kebergantungan terlalu tinggi terhadap Azizulhasni boleh menimbulkan risiko jangka panjang, terutama menjelang kitaran baharu Sukan Asia dan Sukan Komanwel bagi edisi 2030.

Katanya lagi, PKBM perlu bersedia mempertaruhkan pelumba baharu agar penglibatan Malaysia dalam acara berbasikal trek pada Sukan Olimpik 2032 dapat diteruskan.

“Untuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini, ya, beliau masih relevan tetapi PKBM perlu memikirkan satu mekanisme bagi menghadapi satu atau dua kitaran temasya itu pada masa depan.

“Tidak mengapa untuk beri peluang kepada beliau tapi atlet muda perlu diberi perhatian sebab kita tidak mahu apabila habis satu kitaran temasya itu, barulah kita nak bangunkan pelumba lain, proses itu merugikan.

“PKBM kena fikirkan Sukan Olimpik 2032 bukan 2028. Sekarang beliau masih ada tapi untuk Olimpik 2028 beliau belum tentu bertanding jadi tak kan kita tiada wakil nanti. PKBM kena fikir siapa yang perlu diketengahkan,” katanya.

Terdahulu, PKBM masih menagih khidmat Azizulhasni untuk dijadikan sandaran bagi menghadapi dua siri Piala Dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Pekan turut berkata, pencarian pengganti Azizulhasni tidak boleh diletakkan kepada PKBM tetapi pelumba berusia 38 tahun itu sendiri perlu bekerjasama mencari bakat baharu untuk dijadikan harapan.

“Datuk Azizulhasni bukan kena fikir untuk diri dia saja tetapi sebagai legenda tak kan beliau tidak mahu melihat ada pelumba lain menggantikan tempatnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN