SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Penang FC masing-masing mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Ia adalah perlawanan pertama NSFC di gelanggang sendiri di bawah kendalian Ketua Jurulatih, K. Rajan yang menggantikan Mohd. Nidzam Jamil mulai 23 Februari lalu.
Bagaimanapun, Penang FC mendahului tuan rumah pada minit ke-22 melalui pemain import, Dylan Christopher Halls yang tidak dikawal pertahanan NSFC.
Pemain itu yang menerima hantaran dari kiri gol NSFC meledakkan sepakan lambung menewaskan penjaga gol, Muhammad Azri Abdul Ghani.
Enggan menyerah mudah, NSFC melancarkan serangan balas mencari gol penyamaan.
Minit ke-29, NSFC berjaya menyamakan kedudukan apabila Jovan Motika menggelecek dua pertahanan Penang FC sebelum melepaskan rembatan deras dari jarak 25 meter di luar kotak penalti membolosi bahagian kanan pintu gol pelawat.
Saingan separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol kemenangan.
Kemasukan pemain gantian, Aday Ali Kharroub, Joseph Esso dan Muhammad Afiq Fitry Mohd. Jefry tidak banyak membantu jentera serangan pasukan tuan rumah.
Manakala Penang FC memasukkan Erick Brendon Da Silva dan Tchetche Hermann Kipre untuk mengukuhkan penguasaan permainan untuk mengubah kedudukan.
Hasilnya pada minit ke-79, Kipre memanfaatkan peluang daripada hantaran silang di kiri gol NSFC dengan menguis bola masuk ke dalam menggunakan kaki kiri.
Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain gantian NSFC, Mio Tsuneyasu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 selepas pemain berasal dari Jepun itu memperdayakan dua pemain pertahanan Penang FC sebelum melepaskan rembatan melepasi penjaga gol pelawat, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.
Asakan NSFC yang berterusan akhirnya membuahkan gol apabila Esso merembat bola masuk selepas muntah daripada tangkapan Mohamad Ramdhan ketika menyelamatkan sepakan A. Selvan.
Ketika pasukan tuan rumah di ambang kemenangan, Penang FC dihadiahkan sepakan penalti apabila Muhammad Afiq Fitri mengasari pemain lawan.
Stefano Brundo menyempurnakan gol sepakan penalti itu pada minit ke-90 perlawanan.-UTUSAN










