Munoz tak kejar rekod tanpa kalah Liga Super

Munoz tak kejar rekod tanpa kalah Liga Super

PENYERANG JDT Stuart Wilkin diraikan rakan sepasukan setelah menjaringkan gol pada aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 menentang PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tidak meletakkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini sebagai keutamaan Harimau Selatan.

Munoz berkata, banyak perlawanan penting yang lebih besar perlu diharungi anak buahnya termasuk aksi suku akhir kejuaraan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE).

Justeru, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengambil pendekatan untuk hadapi satu demi satu perlawanan bermula dengan aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC pada 3 April ini.

“Walaupun kita sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super, pasukan masih mempamer komitmen tinggi ketika membenam PDRM FC 7-0. Ini menunjukkan konsistensi yang kita mahukan.

“Bagaimanapun, setelah mengharungi jadual padat yang memenatkan, kita akan memberi rehat sekurang-kurang tiga atau empat hari kepada pemain supaya mereka dapat bersama keluarga (untuk Hari Raya Aidilfitri).

“Selepas itu barulah kita kembali memberi tumpuan untuk perlawanan seterusnya (menentang KL City) yang mana kita berhasrat untuk mempertahankan trofi tersebut,” ujarnya.

Ditanya mengenai ketiadaan Heberty Fernandes yang seakan ‘hilang’ dalam radar, Munoz memberitahu, pemain veteran kelahiran Brazil itu masih bersama pasukan.

Tambahnya, kehadiran beberapa penyerang seperti Yago Cesar, Marcos Guilherme dan Manuel Hidalgo sedikit sebanyak memberi tentangan buat Heberty bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Apabila anda mempunyai skuad yang besar dan dibarisi ramai pemain yang berkualiti, agak sukar untuk memenuhi permintaan semua pemain.

“Justeru, saya perlu buat pilihan tepat mengikut prestasi semasa setiap pemain berdasarkan aksi dipamerkan semasa jalani sesi latihan. Setiap pemain yang diturunkan, dapat menggalas tugas yang baik seperti dimahukan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN