Magis Eze julang Arsenal

Magis Eze julang Arsenal

EMAIN Arsenal meraikan gol jaringan Eberechi Eze (kanan) ketika Arsenal menumpaskan Bayer Leverkusen 2-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Emirates, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Aksi memukau Eberechi Eze menjadi pemangkin kemenangan Arsenal ketika menewaskan Bayer Leverkusen 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah, semalam.

Beraksi di Stadium Emirates, skuad kendalian Mikel Arteta tampil agresif sejak wisel permulaan dengan melakukan tekanan berterusan ke kubu lawan sebelum Eze memecah kebuntuan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti pada penghujung babak pertama.

Arsenal terus mengukuhkan kedudukan pada separuh masa kedua apabila Declan Rice menyempurnakan peluang untuk memastikan kemenangan agregat 3-1, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir menentang Sporting Lisbon.

Gol sulung Eze dalam saingan Liga Juara-Juara itu hadir tepat pada masanya, sekali gus menandakan kebangkitan pemain itu selepas permulaan yang kurang memberangsangkan bersama Arsenal sejak menyertai kelab itu dari Crystal Palace musim lalu.

Arteta yang semakin yakin dengan kemampuan pemain England itu kini lebih kerap menurunkannya bagi mengisi kekosongan Martin Odegaard, dan kepercayaan tersebut dibalas dengan prestasi cemerlang.

“Kami memulakan perlawanan dengan amat baik dan memberi ancaman dari segenap sudut. Penjaga gol mereka banyak menyelamatkan keadaan dan kami perlukan detik magis daripada Ebs untuk membuka jaringan.

“Eze bermain setiap tiga hari, dia ada rentak dan kefahaman dengan rakan sepasukan, itulah sebab dia berada di sini. Dia membina persefahaman dengan semua pemain dan bila mula mencipta detik penting dalam perlawanan, ia melonjakkan keyakinan,” katanya.

Rice turut mencuri tumpuan apabila mengemudi jentera tengah dengan cemerlang selain menyumbat gol kedua pasukan, membantu Arsenal menguasai sepenuhnya permainan.

“Pada separuh masa kedua, tindakan Declan memberi kami peluang untuk menamatkan perlawanan. Ini Liga Juara-Juara. Bila ada empat atau lima peluang dan gagal menjaringkan gol, ia jadi mengecewakan.

“Ia detik luar biasa daripada Declan menamatkan perlawanan. Kami mahu cuba cipta lebih banyak peluang seperti itu untuk pemain lain kerana ramai dalam pasukan mampu melakukannya.

“Declan hebat, begitu juga seluruh pasukan cara mereka menguasai pegangan bola dan semangat yang dipamerkan sungguh luar biasa,” jelas Arteta.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal terus berada pada prestasi terbaik apabila merekodkan sembilan kemenangan dan satu keputusan seri daripada 10 perlawanan Liga Juara-Juara musim ini, menjadikan The Gunners antara pencabar utama kejuaraan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN