Ketatkan pengesahan status pemain

Ketatkan pengesahan status pemain

Bangunan Wisma FAM di Kelana Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu segera memperketatkan proses pengesahan status pemain serta memperkukuh aspek perundangan dalam pentadbiran badan induk itu.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, beberapa langkah penting perlu di rangka susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengenakan hukuman denda serta pemotongan mata terhadap skuad Harimau Malaya.

“Koordinasi antara setiap jabatan dan unit juga perlu dipertingkatkan supaya segala urusan berkaitan pemain dapat diselaraskan dengan lebih teliti,” katanya.

Terdahulu, AFC bertindak membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya iaitu ke atas Nepal dan Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

Keputusan berkenaan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang kelmarin selepas mendapati FAM melanggar peraturan dengan menurunkan pemain tidak layak.

Malaysia yang sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 dan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025, kini diisytiharkan kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan.

Sulaiman turut menekankan kepentingan pematuhan penuh terhadap statut dan peraturan antarabangsa, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh AFC dan Persekutuan Bolasepak Antrabangsa (FIFA).

Pada masa sama, beliau berpandangan pembangunan bakat tempatan harus menjadi keutamaan utama selain memperluas program akar umbi serta memperkasakan liga domestik dilihat sebagai platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

Walaupun hukuman tersebut memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027, Sulaiman melihat terdapat beberapa perkembangan positif yang mula dizahirkan.

“Antaranya termasuk peningkatan kesedaran terhadap kepentingan tadbir urus yang telus, sikap lebih berwaspada berkaitan integriti, serta penambahbaikan menyeluruh dalam sistem pengurusan pemain,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan situasi yang berlaku tu sebagai peluang untuk membina semula pasukan dengan asas yang lebih kukuh, selain menyaksikan komitmen lebih padu dalam kalangan pemain dan pegawai untuk bangkit semula.

“Dengan sokongan berterusan daripada penyokong, saya percaya Harimau Malaya mampu kembali lebih kompetitif di pentas antarabangsa.

“Dalam jangka masa panjang, episod ini wajar dijadikan pengajaran berharga bagi memperkukuh asas bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” kata Sulaiman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN