PETALING JAYA: Pengurusan skuad kebangsaan menganggap hukuman yang dikenakan terhadap tujuh pemain warisan berlebihan dan tidak seimbang dengan kes-kes terdahulu yang melibatkan keadaan hampir sama.
Ketua pegawai eksekutif skuad kebangsaan, Rob Friend berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan keseluruhan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) biarpun terdapat pengurangan hukuman yang dikenakan.
“Berdasarkan hujah-hujah yang telah dikemukakan, kami percaya terdapat asas kukuh untuk keputusan yang berbeza, dan para pemain telah menunjukkan sikap profesional serta integriti sepanjang keseluruhan proses ini.
“Pada pandangan kami, hukuman yang dikenakan terhadap para pemain masih berlebihan dan kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang melibatkan keadaan hampir sama, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan.
“Ini merupakan tempoh yang amat sukar buat para pemain dan kelab masing-masing, yang tetap memberikan sokongan kepada mereka sepanjang masa walaupun tidak terlibat dalam isu asas yang membawa kepada situasi ini.
“Tanggungjawab kami kini adalah untuk terus berdiri teguh di belakang para pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan akan datang menentang Vietnam, serta memastikan bola sepak Malaysia muncul lebih kuat dan bersatu daripada pengalaman ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, CAS mengekalkan hukuman denda terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara susulan isu pemalsuan dokumen pada September tahun lalu.
Bagaimanapun, CAS memberi kelonggaran buat Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Hector Hevel menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
Namun, semua pemain warisan negara itu masih ‘diharamkan’ daripada sebarang aksi kompetitif sehingga November depan selepas diberi penangguhan sementara selama sebulan untuk bermain oleh CAS pada bulan lalu.-UTUSAN










