Kelemahan servis, komunikasi punca Tang Jie-Ee Wei tersingkir

Kelemahan servis, komunikasi punca Tang Jie-Ee Wei tersingkir

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir seawal psuingan pertama di Kejohanan Badminton All England di Birmingham, England, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya mampu menyalahkan diri sendiri di atas kekalahan mereka di tangan beregu kurang ternama pada pusingan pertama Kejohanan Badminton All England di Birmingham, England, semalam.

Juara dunia yang menghuni ranking No. 4 dunia itu tunduk kepada gandingan ke-34 dunia, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk dari Denmark 21-18, 12-21, 23-25 dalam masa 1 jam 2 minit.

Ee Wei berkata, mereka terpaksa menerima kekalahan itu  dan masih banyak kejohanan menanti pada masa akan datang.

“Malang sekali kami masih kalah di pusingan pertama, tetapi, kami telah berusaha berjuang untuk memberikan yang terbaik di gelanggang.

“Ada sesuatu untuk dipelajari, terlalu banyak kesalahan servis yang benar-benar membuatkan saya hilang sedikit keyakinan,” katanya selepas perlawanan berakhir.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, selain pukulan servis, dia dan Tang Jie terlalu kerap melakukan pukulan lambung (lifting) sehingga menimbulkan situasi kurang selesa ketika bertahan di dalam gelanggang.

“Kelemahan tersebut perlu kami perbaiki untuk kejohanan seterusnya. Saya memang agak kecewa dengan servis yang kami lakukan, pada mata penting juga ada kesilapan daripada saya sendiri. Saya tidak tahu bila saya akan kena ‘fault’ lagi, ia diluar kawalan saya,” katanya.

Sementara itu, Tang Jie turut senada dengan pasangannya itu apabila berkata, strategi yang diatur lawan serba menjadi, manakala, dia dan Ee Wei pula gagal untuk menterjemahkan kepada kemenangan.

Jelasnya lagi, dia turut berdepan salah faham dengan Ee Wei terhadap penggiliran mereka ketika berada di dalam gelanggang.

“Saya rasa komunikasi kami tentang penggiliran bahagian masing-masing itu mungkin perlu diperbaiki lagi terutama dari segi berkomunikasi dengan pasangan.

“Pergerakan itu juga mungkin menjadikan kami lebih ‘straightforward’ sedikit. Jadi ini adalah apa yang perlu kami belajar daripada perlawanan ini,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN