PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila muncul juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut sejak 2014.
Meskipun telah mengesahkan kejuaraan, namun pengendalinya, Xisco Munoz belum puas dan menyeru anak buahnya untuk tidak melepaskan sebarang mata dalam baki saingan musim ini.
Jelasnya, skuad Harimau Selatan masih mempunyai tiga lagi kejohanan yang perlu diberi tumpuan termasuk separuh akhir Piala Malaysia, separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dan suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan mereka bertekad berusaha sebaik mungkin untuk memburu kejuaraan di kejohanan berkenaan.
“Kita sudah menjadi juara (Liga Super), tetapi kami mempunyai matlamat besar, kami mahu berusaha untuk tidak kehilangan mata dalam liga, dan itu adalah perkara penting bagi kami.
“Kami perlu fokus kerana selepas ini kami akan beraksi di separuh akhir ACC, separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir ACLE.
“Kami perlu bekerja keras serta memberi yang terbaik untuk diri sendiri dalam setiap kejohanan. Kami perlu terus fokus, terus mempunyai cita-cita besar dengan karakter dan semangat yang sama,” katanya selepas membantu JDT mengesahkan kejuaraan lebih awal.
JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super musim 2025/26 selepas menumpaskan DPMM FC 3-0 di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hasil jaringan Ager Aketxe, Oscar Arribas dan Marcos Guilherme.
“Bermain di tempat lawan sentiasa menjadi perlawanan yang sukar. Hari ini kami berjaya mencipta banyak peluang, tetapi tidak dapat menjaringkan gol namun ia tidak menjadi masalah.
“Pasukan perlu memperbaiki beberapa keadaan dan belajar untuk bermain dengan lebih mudah di padang seperti ini,” ujarnya.- UTUSAN










