PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut pada 15 Mac ini apabila turun ke Brunei bertemu DPMM FC.
Kemenangan ke atas Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Jumaat lalu meletakkan Harimau Selatan di landasan terbaik untuk terus mendominasi kejuaraan liga yang dimenangi sejak 2014.
Dengan 54 mata maksimum hasil 18 kemenangan daripada 18 perlawanan, skuad kendalian Xisco Munoz kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mempertahankan kejuaraan.
JDT ketika ini meninggalkan pencabar terdekat, Selangor FC dan Kuala Lumpur City dengan jurang 18 mata, ketika saingan berbaki enam perlawanan.
Sementara itu, Kuching City yang berada di tangga keempat mengumpul 34 mata selepas menewaskan Imigresen FC 1-0 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, kelmarin dan masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Justeru, kejuaraan dilihat hanya menunggu masa, namun fokus JDT ketika ini terarah kepada aksi lebih mencabar di pentas Asia.
Harimau Selatan akan berdepan kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bagi pusingan 16 terakhir, dengan dua perlawanan dijadual berlangsung esok dan 11 Mac ini.
Tonggak JDT, Manuel Hidalgo menegaskan, kejuaraan Liga Super tetap menjadi sasaran utama pasukan meskipun mereka kini hampir menamatkan misi tersebut.
“Itulah objektif yang kami sasarkan sepanjang musim ini. Apabila sudah begitu hampir (dengan kejuaraan), kami tidak boleh leka.
“Saya fikir JDT mempunyai standard yang kami mahu untuk menamatkan musim tanpa kalah dan cuba memenangi setiap perlawanan.
“Saya amat gembira dapat menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini dan sejarahnya,” kata Hidalgo.-UTUSAN









