JDT raih bekal selesa, tewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1

JDT raih bekal selesa, tewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1

Penyerang JDT Bergson Da Silva diraikan rakan sepasukan apabila menjaringkan gol pada perlawanan pertama pusingan 16  ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih bekalan selesa selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Pasukan kendalian Xisco Munoz bermula garang dan hampir mencipta jaringan menerusi Joao Figueiredo, namun rembatan deras pemain warisan itu berjaya ditepis penjaga gol, Keisuke Osaka pada minit ketiga.

Penyerang JDT Joao Figueiredo menanduk bola pada perlawanan pertama pusingan 16  ACLE menentang Sanfrecce Hiroshima di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Anak buah Bartosch Gaul turut berupaya melakukan serangan balas ke kubu JDT namun tidak berjaya menemui sasaran.

Pada minit ke-17, Nacho Mendez berjaya melakukan percubaan tepat ke pintu gol, malangnya rembatan yang dilakukan sedikit lemah dan mudah diselamatkan Osako.

Tujuh minit berselang, Akito Suzuki hampir menghukum kesilapan penjaga gol, Andoni Zubiaurre apabila memotong hantaran pendek yang dilakukan namun tindakan gopohnya tidak berjaya menghasilkan gol.

Perlawanan itu menjadi lebih sukar buat kelab Jepun itu setelah terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Kim Jusung mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Nene pada minit ke-26.

Peluang itu dimanfaatkan skuad Harimau Selatan yang menggandakan asakan dan hampir memecah kebuntuan menerusi rembatan kencang Mendez yang sekadar menggegar tiang gol lawan pada minit ke-32.

Biarpun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, Sanfrecce Hiroshima tetap berupaya melancarkan serangan dan hampir membuat jaringan menerusi percubaan Hayato Araki dan Shuto Nakano namun gagal meletakkan bola ke dalam gawang JDT.

JDT semakin hampir memecah kebuntuan menerusi gerakan Marcos Guilherme yang melakukan umpanan kepada Figueiredo namun tandukan dilakukan pemain warisan itu sekadar menggegar palang pada penghujung babak pertama.

Pemain tengah, Ager Aketxe turut mengitai peluang untuk membuat jaringan, malangnya percubaan yang dilakukan dari luar kotak penalti gagal menewaskan Osako.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat tampak banyak bermain bertahan manakala JDT meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol pembukaan.

Gol yang diburu pasukan tuan rumah hadir pada minit ke-53 apabila Mendez membuat umpanan kepada Aketxe yang melepaskan rembatan lencong yang menyaksikan bola itu melayang menerjah ke penjuru atas gawang.

Jaringan itu memberi tonik buat skuad Harimau Selatan untuk memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang bermain dengan 10 pemain.

Guilherme yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu dengan larian kencangnya di sayap kanan itu melepaskan rembatan deras pada minit ke-60 namun berjaya ditumbuk keluar Osako.

Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan sorakan penonton setelah pemain gantian, Bergson Da Silva meledak gol kedua perlawanan apabila menyudahkan ‘cutback’ yang dilakukan Eddy Israfilov pada minit ke-63.

Sanfrecce Hiroshima hampir merapatkan kedudukan namun tandukan yang dilakukan Kosuke Kinoshita sedikit tersasar dari pintu gol JDT pada minit ke-79.

JDT mempunyai beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan namun percubaan dilakukan tidak berjaya membuahkan hasil.

Harimau Selatan menambah derita buat La Viola berpunca daripada serangan balas pantas berpunca daripada Yago Cesar dan disudahkan Guilherme menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-85.

Kelekaan pasukan tuan rumah pada penghujung babak kedua dihukum kelab Jepun itu apabila merapatkan jurang setelah rembatan dilakukan Kinoshita diselamatkan Zubiaurre namun tertampan oleh Nene ke gawang sendiri.

JDT terus mengasak bagi mencari tambahan jaringan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

Kedua-dua pasukan akan bertembung pada aksi timbal balik di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima, pada 11 Mac ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN