PETALING JAYA: Proses naturalisasi pemain Harimau Malaya perlu dibuat secara berhati-hati agar peristiwa hitam yang melanda tujuh pemain warisan tidak berulang selepas ini.
Situasi itu menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab mengurus dokumentasi serta pemilihan pemain naturalisasi.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, proses naturalisasi menuntut kerjasama semua pihak agar kejadian membabitkan pemain warisan tidak berulang.
“Saya percaya jika semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing termasuk pemain, agen, FAM dan KDN, perkara ini tidak akan berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nik Erman, isu naturalisasi pemain bola sepak tidak sepatutnya disalahkan pada undang-undang, sebaliknya kelemahan terletak pada pelaksanaan dan tadbir urus pihak berkuasa yang terlibat.
Katanya, kelayakan untuk mewakili pasukan negara telah ditetapkan dengan jelas dalam statut FIFA, termasuk syarat lima tahun berada secara fizikal di negara yang membolehkan pengecualian hanya bagi cuti, urusan perubatan atau tempoh pendek sebab peribadi [Art 6(4) FIFA Regulations Governing Application of Statute].
“Isu sebenar bukan kerana statut tidak jelas, tetapi kerana pecah amanah, tindakan tidak beretika dan kelemahan tadbir urus oleh pihak yang berkuasa.
“Jika diteliti isu tujuh pemain ini, memang jelas mereka tidak layak kerana mereka tidak berada di Malaysia lebih lima tahun dan juga tidak lahir di Malaysia.
“Ayah, ibu, datuk dan nenek juga tidak lahir di Malaysia.Penipuan bukan datang dari pemain tetapi diubah oleh mereka yang memang ada kuasa,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nik Erman menegaskan proses naturalisasi harus difokuskan kepada pemain yang benar-benar memberi nilai tambah kepada pasukan negara, bukannya sekadar mana-mana pemain.
“Secara peribadi, saya tidak berminat melihat 11 pemain naturalisasi mewakili Harimau Malaya,” tambahnya.
Ketika ini, difahamkan terdapat tiga pemain iaitu Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo (Johor Darul Ta’zim) dan Giancarlo Gallifuoco (KL City FC) dalam proses naturalisasi untuk beraksi mewakili Harimau Malaya.-UTUSAN










