PETALING JAYA: Kekalahan mengejut Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Terbuka Jerman kelmarin bukan cerminan sebenar kemampuan mereka di Kejohanan All England pada minggu depan.
Beregu No. 2 dunia itu tersingkir di pusingan kedua selepas tewas 15-21, 22-24 kepada beregu Perancis, Julien Maio-William Villeger, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai prestasi mereka.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, fokus utama anak didiknya itu ialah berada pada tahap terbaik di All England, bukannya memuncak terlalu awal di Jerman.
“Ya, Aaron-Wooi Yik beraksi di Jerman dengan pelan permainan dan fokus yang belum mencapai tahap 100 peratus, jadi mereka belum bermain secara maksimum.
“Perancangan utama adalah membuat persiapan ke kejohanan yang lebih penting iaitu All England. Di Jerman memang Aaron-Wooi Yik belum mencapai tahap maksimum dari segi fokus dan pelaksanaan strategi,” kata Herry.
Menurut Herry, keadaan fizikal dan mental kedua-dua pemain berada pada tahap baik untuk menghadapi kejohanan berprestij di Birmingham dan beliau optimis anak buahnya mampu mempamerkan aksi sebenar.
“Keadaan mereka semua baik untuk persiapan ke All England, tiada sebarang isu besar, cuma mereka kurang fokus dan belum mempamerkan permainan pada tahap maksimum.
“Jika mereka bermain pada tahap maksimum, saya percaya mereka mampu mara sehingga ke perlawanan akhir,” kata jurulatih dari Indonesia itu.
Aaron-Wooi Yik akan membuka kempen kejohanan bertaraf Super 1000 itu menentang pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zi Yi-Presley Smith.
Sebagai rekod, juara dunia 2022 itu pernah dua kali menjadi naib juara All England pada 2019 dan 2024 selepas tewas kedua-duanya di aksi final kepada beregu Indonesia.-UTUSAN










