PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa hukuman terhadap skuad Harimau Malaya mungkin tidak seberat kes Timor Leste.
Perkembangan itu memadam spekulasi yang bertiup kencang sebelum ini apabila ada segelintir pihak mendakwa FAM dan skuad kebangsaan bakal menerima nasib seperti Timor Leste dalam kes pemalsuan dokumen pemain warisan.
Begitupun, potensi pemotongan mata tetap ada, sekali gus akan merencatkan pemburuan tiket ke Piala Asia 2027, namun jaminan AFC boleh dikatakan skuad kebangsaan tidak akan digantung daripada kejohanan berprestij Asia itu pada edisi seterusnya.
Ianya, merujuk kepada artikel 25 Kod Disiplin AFC, hanya menyebut tindakan pembatalan perlawanan yang membawa kepada keputusan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan manakala Artikel 56 berkait tindakan atau denda ke atas pemain dan persatuan.
Berdasarkan artikel itu, ia memberi bayangan bahawa FAM tidak akan digantung dan perkara itu pernah dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul dalam laporan media sebelum ini.
“Situasi Malaysia berbeza dengan Timor Leste kerana perkara ini ditemui semasa pertandingan masih berjalan. Oleh itu, hukuman boleh dilaksanakan pada masa ini. Setiap kes perlu dinilai mengikut konteks,” jelas Windsor.
Sebagai rekod, AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain negara itu.
Dalam perkembangan sama, kongres pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka berlangsung selepas berakhir Piala Dunia 2026.-UTUSAN










