PETALING JAYA: Tokoh korporat Malaysia dilihat akan berhati-hati untuk mencampuri urusan bola sepak negara, biarpun syarat pemilihan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) dilonggarkan.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, pengubahsuaian statut FAM sahaja tidak cukup untuk menarik minat mana-mana ahli perniagaan berkaliber untuk mengemudi pentadbiran FAM.
“Kalau syarat pemilihan dilonggarkan sekarang, dalam tempoh dua hingga tiga bulan sukar untuk memilih pemimpin baharu kerana ramai masih skeptikal. Keadaan FAM yang huru-hara membuatkan pemimpin korporat berhati-hati untuk bertanding.
“Namun, jika statut di perbetulkan dalam jangka panjang, ia mungkin menarik minat mereka untuk membantu menyusun semula FAM, memulihkan imej, mendapatkan semula kepercayaan pemegang taruh serta memperkukuh tadbir urus dan integriti persatuan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pekan turut menekankan faktor keberanian dan kesedaran ahli gabungan FAM sendiri sebagai kunci perubahan badan induk bola sepak negara itu.
“Kalau ahli gabungan tidak mempunyai kesedaran untuk berubah, tidak ada keberanian dan masih terikat dengan janji lama, calon luar tetap sukar diterima,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan pengalaman antarabangsa menunjukkan sistem pemilihan yang lebih telus mampu mengurangkan kronisme dan manipulasi undi, mengambil contoh model Korea Selatan, di mana lebih 190 ahli gabungan terlibat dalam pemilihan presiden, berbanding hanya 20 lebih ahli gabungan di Malaysia.
Beliau juga menegaskan, pendekatan sebegini membolehkan calon yang benar-benar layak, termasuk bekas pemain, jurulatih dan ahli korporat, diberi peluang mengetuai jawatankuasa khas, sekaligus membawa pembaharuan dalam tadbir urus bola sepak negara.
“Kalau kita tidak ubah sistem, pemimpin korporat tetap tidak akan dicalonkan oleh ahli gabungan sedia ada. Perubahan perlu datang dari statut, sikap ahli gabungan dan keberanian mereka,” tambahnya.
Kelmarin, peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli mencadangkan agar syarat pencalonan bagi perebutan jawatan Presiden FAM dilonggarkan bagi memastikan proses demokrasi berjalan lebih adil dan telus.
Ketika ini beberapa nama dikaitkan dengan jawatan presiden FAM termasuk Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin; dan bekas presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Dalam masa yang sama, pemerhati bola sepak turut berharap tokoh korporat seperti Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes diberi peluang mengubah wajah bola sepak tempatan.
FAM kini tanpa peneraju selepas Datuk Mohd Joehari Ayub melepaskan jawatan presiden pada Ogos tahun lalu, sebelum barisan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) secara kolektif meletak jawatan pada Januari lalu.
Mohd Joehari melepaskan jawatan atas faktor peribadi, manakala barisan Exco meletak jawatan bagi menyelamatkan bola sepak negara daripada digantung Persekutuan Bolasepak Antarabngsa (FIFA).-UTUSAN










